Sabtu, 11 Februari 2017 | 11:16pm

TRW atasi FELDA United di Jengka


PEMAIN FELDA United, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) diasak pemain Kelantan, Mohd Farisham Ismail pada perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, sebentar tadi. - Foto Muhd Asyraf Sawal

MARAN: Kelantan mencatatkan kemenangan kedua dalam Liga Super 2017 apabila berjaya menewaskan FELDA United FC 2-1 di Stadium Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, dekat sini, sebentar tadi.

Pemain importnya, Mohamad Ghaddar menjadi wira The Red Warrior apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89.

Bermain di hadapan kira-kira 10,000 penyokong, dua pasukan saling berbalas serangan sebaik wisel permulaan ditiup oleh pengadil, Muhammad Zamzaidi Katimin.

Kelantan terlebih dahulu mencemaskan kubu FELDA United menerusi pemain import pertahanannya, Mamadou Danso, namun tandukannya berjaya ditepis Mohd Farizal Harun pada minit ke-12.

Kelantan memperoleh gol pertama pada minit ke-33 menerusi pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin selepas pertahanan FELDA United gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti.

FELDA United menyamakan kedudukan pada minit ke 45 separuh masa pertama menerusi Zahrahan Krangar selepas gerakan cantik oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Bersambung pada babak kedua, FELDA United dan Kelantan menggandakan usaha untuk mencari gol kemenangan dan Ghaddar menjadi wira The Red Warrior pada minit ke-89.

Ghaddar berjaya menyempurnakan hantaran cantik pemain gantian, Mohd Nor Farhan Muhamad sebelum itu.

Berita Harian X