Sabtu, 11 Februari 2017 | 11:49pm

JDT, Selangor buntu di Larkin


PEMAIN import Johor DT, Gabriel Miguel Guerra (kanan) didiasak pemain Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) terlepas peluang untuk mencatat kemenangan apabila sekadar seri 0-0 dengan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Aksi pada 15 minit babak pertama tampak begitu sukar buat tuan rumah untuk menyusup masuk ke dalam kotak penalti pelawat tatkala anak didik P Maniam mengamalkan corak berkampung di kawasan sendiri.

Gerakan menarik tuan rumah yang dimulakan pemain import baharu JDT, Gabriel Guerra yang dinaikkan pangkat dari Johor Darul Ta'zim II (JDTII), pada minit ke-19 hampir memerangkap penjaga gol, Mohd Khairul Azhan Khalid, namun Azammudin Akil tidak sempat untuk menyambar bola yang sekadar melintang di depan gol.

Malah selang seminit kemudian bola rembatan Brian Fereirra dari jarak 20 meter menyaksikan Mohd Khairul Azhan terpaksa melayangkan badan untuk menepis bola yang menuju tepat ke gawang gol.

Mohd Khairul Azhan masih kebal menjaga gawang gol apabila menangkap bola rembatan deras Guerra pada minit ke-31 selepas menerima bola sepakan lintang Azammudin.

Tindakan Azammudin yang merembat bola menyaksikan bola terkena tangan kapten Mohd Razman Roslan dan pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajuddin tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-38 namun Mohd Khairul Azhan berjaya menafikan bola sepakan Fereirra.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan untuk memburu gol pertama namun masih gagal untuk menghasilkan jaringan walaupun melancarkan gerakan berbahaya di posisi sayap kiri dan kanan.

Namun apa yang dihajati tuan rumah untuk meraih tiga mata tidak kesampaian sebalik sekadar berpuas hati dengan satu mata selepas pelawat berjaya menidakkan usaha skuad Harimau Selatan daripada mencipta kemenangan di laman sendiri.

Berita Harian X