Ahad, 12 Februari 2017 | 12:04am
PANORAMA Kuala Lumpur bersama perkhidmatan bas persiaran dua tingkat dikenali KL Hop-On Hop-Off (HOHO). - Foto Zunnur Al Shafiq
APABILA KL HOHO berhenti seketika di depan Galeri KL, penumpang berpeluang menjelajah hingga ke Padang Selangor yang kini dikenali Dataran Merdeka. - Foto Zunnur Al Shafiq

Ronda KL waktu malam dengan HOHO


ANTARA destinasi popular yang turut dilawati adalah sekitar Menara KL. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR bandar raya taman bercahaya, mungkin gelaran yang sinonim dengan kota kosmopolitan ini.

Hakikatnya tidak ramai warga tempatan mengambil peluang untuk bersiar-siar atau menjelajah KL pada waktu malam.

Sebenarnya keindahan KL dianggap terserlah apabila menjelajahinya pada waktu malam, panorama yang disajikan memang mempesonakan pemandangan.

Jolokan KL bandar raya taman bercahaya bukan sekadar omong kosong apabila penulis yang ditemani beberapa teman, baru-baru ini tertarik dengan remang malam kota indah yang baru menyambut Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu.

Penulis sengaja tidak membawa kenderaan sendiri kerana kesesakan di jalan utama KL boleh menjejaskan tumpuan, mood ke 'laut', selain masalah parkir, menambah sengsara percutian anda.


PERKHIDMATAN bas persiaran dua tingkat dikenali KL Hop-On Hop-Off (HOHO) mempunyai bahagian bumbung terbuka. - Foto Zunnur Al Shafiq

Bukan juga berjalan kaki, ia tidak berbaloi kerana meletihkan. Pilihan terbaik menjelajah KL waktu malam adalah menggunakan perkhidmatan bas persiaran dua tingkat dikenali KL Hop-On Hop-Off (HOHO) yang mempunyai bahagian bumbung terbuka, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mengambil gambar pemandangan daripada sudut 360 darjah, selain swafoto (selfie) sepuas hati!

Berhenti di lampu isyarat, peluang terbaik berswafoto.

Meneroka keindahan Menara Berkembara

Menaiki KL HOHO generasi ketiga dengan bumbung terbuka memberi pengalaman unik, seolah-olah sedang mengelilingi KL sambil menaiki London Double Decker Red Bus atau Big Bus London yang popular di seluruh dunia sehingga menjadi ikutan kepada kebanyakan kota raya terkemuka.

Cuaca dingin waktu malam memberi peluang kepada pengunjung untuk terus berada di ruangan terbuka. Pelbagai gelagat warga kota dapat disaksikan dari atas bas, terutama mereka yang melepak di destinasi popular seperti Menara Berkembar PETRONAS dan pusat beli-belah mega, Pavilion sekitar Jalan Bukit Bintang.


ANTARA destinasi popular dilawati adalah Pavilion di sekitar Jalan Bukit Bintang. - Foto Zunnur Al Shafiq

Menara Berkembar PETRONAS adalah bukti keunggulan rekaan seni bina moden di Malaysia. Sehingga hari ini, binaan setinggi 88 tingkat dengan jambatan dua tingkat yang menjadi penghubung antara dua menara di tingkat 41 dan 42, kekal sebagai menara berkembar tertinggi di dunia sekaligus menjadi ikon utama KL.

Jelajah ke lokasi sejarah

Sepanjang perjalanan bersama KL HOHO, pelancong diberi penjelasan mengenai sejarah dan tarikan Kuala Lumpur menerusi sistem audio rakaman bahasa Inggeris, selain dilengkapi kemudahan Wi-Fi.

Penulis berkesempatan singgah di deretan rumah kedai pertama dibina di Old Market Square (kini dikenali Lebuh Pasar Besar) yang dimiliki dan pernah didiami Kapitan Cina, Yap Ah Loy bersama keluarganya sekitar tahun 1870.

KL menjadi pusat pentadbiran Tanah Melayu ketika penjajahan British. Bangunan sekretariat kerajaan baharu dibina bagi menempatkan pentadbiran British.

Hari ini premis berkenaan dikenali Bangunan Sultan Abdul Samad yang cukup indah dengan cahaya lampu pada waktu malam, lebih-lebih lagi kalau dilihat dari Dataran Merdeka yang terletak hanya berhadapan.

Cerita mengenai asal-usul dan sejarah KL boleh diperoleh pelancong apabila berkunjung ke Galeri KL. Bangunan Galeri KL asalnya adalah pejabat percetakan kerajaan yang dibina pada tahun 1899. Pernah dijadikan Arkib Negara Malaysia dan Kementerian Buruh, kini Galeri KL menjadi sebahagian daripada bangunan Perpustakaan KL.

Apabila KL HOHO berhenti seketika di depan Galeri KL, kita berpeluang menjelajah hingga ke Padang Selangor yang kini dikenali Dataran Merdeka, lokasi bersejarah apabila bendera Tanah Melayu dinaikkan menjelang tengah malam 31 Ogos 1957.

FAKTA NOMBOR:

  • 23 hentian - Jumlah destinasi KL HOHO ambil dan turun penumpang
  • RM45 dan RM24 - harga tiket dewasa, kanak-kanak untuk tempoh 24 jam
  • Jelajah KL menaiki KL HOHO boleh dilakukan menerusi dua tempoh waktu iaitu 24 jam atau 48 jam.
  • Tiket boleh diperoleh ketika menaiki KL HOHO atau di hentian pertamanya, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang.
  • Tiket Juga boleh dibeli secara atas talian www.myhoponhopoff.com atau hubungi 1 800 88 5546 untuk maklumat lanjut.
  • Perkhidmatan KL HOHO adalah tujuh hari seminggu. Memulakan operasinya bermula jam 9 pagi hingga 8 malam dengan jurang masa atau berselang 20 hingga 30 minit antara bas, bergantung kepada keadaan trafik dan cuaca. Lebih 70 tarikan utama atau destinasi KL boleh dilawati.
Berita Harian X