Isnin, 22 Disember 2014 | 3:53pm

Keith Foo pernah tidur di tempat kerja

KUALA LUMPUR: Tahun 2014 yang bakal ditinggalkan tidak lama lagi ternyata cukup indah buat Keith Foo.

Penangan drama Ariana Rose yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 merubah hidup Keith apabila diberi peluang menggalas watak Tengku Adam di samping Nur Fathia Latiff.

Sebelum menempa nama di negara sendiri, Keith pernah melebarkan sayap ke Indonesia. Beliau terlebih dulu ke sana sebelum Miller dan Ashraf Sinclair.

Beliau mencuba nasib dalam dunia komersial sebelum terjun ke bidang lakonan.

Pelakon berketurunan India-Cina itu sudah sembilan tahun menempa nama di sana sebelum kembali ke Malaysia.

Mengenang kembali kembaranya di tanah seberang, Keith juga seperti kebanyakan bakat baru ketika itu yang bergelut sebelum meletakkan dirinya pada satu tahap,

"Dulu, sewaktu mencuba nasib di sana, saya hanya bawa duit cukup makan saja. Nak jimat duit, saya pernah tidur di agensi saya bekerja. Hanya setahun ke dua tahun kemudian, baru ekonomi saya stabil. Saya juga ambil masa untuk belajar cara bercakap bahasa Indonesia.

"Memang tak banyak beza dengan bahasa Malaysia tetapi yang berlainan adalah slanganya. Lucunya pernah saya dimarahi tidak pandai bercakap bahasa Indonesia kerana produksi menyangkakan saya berasal dari sana dan hanya bersandarkan rupa semata-mata," katanya yang kini sedang berehat sebelum kembali melunaskan baki penggambaran filem Langit Cinta arahan Osman Ali dan buat pertama kali bergandingan dengan Nur Fazura.

Lalu kini populariti yang diraihnya di Malaysia tidak langsung membuat beliau mendabik dada. Malahan Keith tidak lupa memanjat kesyukuran kerana dapat kesempatan indah berkongsi bakat di Malaysia.

Tidak hairan namanya berada di tangga ketiga di bawah Felicia Yeap dan Hanez Suraya yang menjadi selebriti Malaysia paling dicari dalam enjin carian Google.

"Terima kasih Media Prima Berhad dan TV3 kerana menawarkan watak untuk saya bagi drama Ariana Rose. Drama itu membuatkan nama saya dikenali dan diterima rakyat Malaysia. Malah hingga saat ini, ramai yang masih ingatkan drama itu.

"Tak kurang juga yang berharap akan ada kesinambungan bagi drama itu. Malah dari drama itu saya terus ditawarkan berlakon tanpa henti.

"Macam sekarang penggambaran filem Langit Cinta dihentikan dan dapatlah juga saya sambut Krismas nanti," katanya yang hanya menyambut Krismas di KL.

Sempat ditanya mengenai perancangan perkahwinannya dengan tunang, Kim Raymond, Keith menjelaskan beliau belum ada lagi hasrat untuk menyunting kekasih hatinya itu sebagai isteri.

"Belum ada tarikh lagi pun. Kena cari duit dulu," katanya ringkas.

25 dibaca
Berita Harian X