Isnin, 13 Februari 2017 | 7:40am

Hakisan pantai: UMT sediakan penempatan sementara

NAIB Canselor UMT, Professor Datuk Dr Nor Aeini Mokhtar (kiri) bersama kakitangan dan penduduk kampung melawat Pantai Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, Kuala Nerus yang terjejas akibat hakisan teruk berikutan ombak kuat dan angin kencang. - Foto Rozainah Zakaria
NAIB Canselor UMT, Professor Datuk Dr Nor Aeini Mokhtar (kiri) bersama kakitangan dan penduduk kampung melawat Pantai Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, Kuala Nerus yang terjejas akibat hakisan teruk berikutan ombak kuat dan angin kencang. - Foto Rozainah Zakaria

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif menyediakan penempatan sementara di dalam kampusnya, bagi membantu penduduk kampung yang terjejas akibat hakisan teruk di sekitar Pantai Mengabang Telipot, di sini.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata pihaknya menyediakan bilik bencana dan bilik gerakan yang mampu menampung hingga 70 orang pada satu-satu masa.

Beliau berkata, penduduk di Kampung Tanjung Gelam, yang pertama terjejas akibat masalah hakisan itu dan hakisan yang semakin teruk kini turut menjejaskan penduduk di Kampung Tengah dan Kampung Kolam yang berhampiran kawasan pantai itu.

"Jika penduduk memerlukan bantuan untuk berpindah, kami di UMT menyediakan penempatan sementara kepada mereka di dalam kampus, sementara mendapat penempatan lebih baik.

"Mereka yang ditimpa musibah ini boleh tinggal di dalam kampus UMT sebelum mendapat penempatan lain yang lebih selesa," katanya yang turun meninjau keadaan hakisan pantai itu, malam tadi.

Nor Aieni berkata, pihaknya melihat keadaan cuaca tidak menentu termasuk angin kencang dan ombak besar tidak selamat untuk penduduk dan mereka wajar berpindah segera demi keselamatan.

"Kita lihat hakisan yang berlaku ini akan terus merebak dan kesannya bertambah buruk. Malah, keadaan ombak juga cukup kuat dan membahayakan keselamatan penduduk," katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya kerajaan negeri, pihak universiti, industri dan penduduk setempat duduk bersama untuk berbincang menangani masalah itu dengan fakta dan cadangan yang boleh meredakan keresahan mereka.

Berita Harian X