Isnin, 13 Februari 2017 | 12:04pm

Adele henti persembahan kerana suara sumbang


ADELE ketika segmen penghargaan kepada mendiang George Michael pada Anugerah Grammy ke-59.

LOS ANGELES: Penyanyi, Adele, 28, mengejutkan peminat apabila meminta kumpulan orkestra yang mengiringi persembahannya pada segmen penghargaan kepada mendiang George Michael pada Anugerah Grammy ke-59 di sini, dihentikan gara-gara nyanyiannya 'off-key'.

Adele yang muncul kali kedua selepas membuka tirai Anugerah Grammy dengan lagu hit, Hello, tiba-tiba berhenti menyanyi sebaik memulakan korus pertama lagu popular Michael, Fastlove yang dipetik daripada album mendiang, Older yang diterbitkan pada tahun 1996.

"Saya buat silap... Saya tak boleh lakukan lagi seperti tahun lalu," kata Adele disambut tepukan gemuruh penonton.

Pada Anugerah Grammy tahun lalu, bintang kelahiran United Kingdom (UK) itu mengalami masalah teknikal ketika mendendangkan lagu All I Ask lalu mencetuskan kontroversi.

Adele menjelaskan, dia perlu memberikan persembahan yang terbaik apatah lagi segmen itu adalah bagi menghargai Michael.

"Saya tak boleh rosakkan persembahan ini kerana Michael," katanya.

Pada anugerah itu, Adele terus mencipta kegemilangan apabila memenangi dua lagi trofi iaitu bagi kategori Persembahan Pop Solo melalui lagu Hello dan Album Pop Vokal melalui album 25.

Bagi kategori Persembahan Pop Solo Terbaik, Adele mengalahkan Beyonce yang mempertaruhkan lagu Hold Up; Justin Bieber (Love Yourself); Kelly Clarkson (Piece by Piece) dan Ariana Grande (Dangerous Woman).

Dalam kategori Album Pop Vokal Terbaik, Adele mengecewakan Justin Bieber melalui album Purpose; Ariana Grande (Dangerous Woman); Sia (This Is Acting) dan Demi Lovato (Confident).

Adele setakat ini membawa pulang 12 trofi Grammy melalui 18 pencalonan sepanjang lebih sedekad bergelar artis rakaman.

Anugerah Grammy Ke-59 sedang berlangsung di Staples Center, di sini. - Agensi

155 dibaca
Berita Harian X