Isnin, 13 Februari 2017 | 1:10pm

Hamil anak kembar, Beyonce curi perhatian


BEYONCE menghangatkan pentas Anugerah Grammy Ke-59. - Foto AFP

LOS ANGELES: Muncul kali pertama selepas mengumumkan hamil anak kembar, Beyonce menghangatkan pentas Anugerah Grammy Ke-59 yang sedang berlangsung di Staples Center, di sini, sejak pagi tadi.

Kemunculan Beyonce menarik perhatian bukan disebabkan dia meraih trofi kategori Video Muzik Terbaik bagi lagu Formation, sebaliknya aksi penyanyi itu di pentas dengan perutnya yang semakin membesar.

Ternyata, kehamilan tidak menghalang penyanyi berusia 35 tahun itu membuat persembahan luar biasa ketika 'memanaskan' pentas bersama Love Drought dan Sandcastles.

Penampilan Beyonce bermula dengan video latar yang cukup glamor. Malah, persalinan rona emas yang digayakan selain paparan visual yang cukup padu dan mewah, membuatkan penonton terpukau.

Pada Anugerah Grammy kali ini, Beyonce menerima sembilan pencalonan termasuk kategori Album Terbaik.

Lagu Beyonce, Formation juga bersaing untuk Rakaman Terbaik dan Lagu Terbaik. Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila kedua-dua kategori terbabit dimenangi Adele.

Sejak beberapa tahun lalu, Beyonce dan Adele dianggap 'seteru' di pentas anugerah berprestij itu.

Lima tahun lalu, Beyonce terpaksa mengalah dengan kehebatan Adele yang membolot ketiga-tiga anugerah utama iaitu kategori album, lagu dan rakaman bersandarkan album 21 dan lagu, Rolling In The Deep.

Namun, pada edisi terbaharu Anugerah Grammy, Beyonce teruja apabila adiknya, Solange Knowles, 30, memenangi trofi Persembahan R&B Terbaik melalui lagu Cranes in the Sky.

65 dibaca
Berita Harian X