Selasa, 14 Februari 2017 | 12:35pm

SPRM Sabah tingkat operasi, pemantauan


Bekas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shaharom Nizam (kiri) bersama Datuk Sazali Salbi melancarkan Buletin SPRM, selepas Majlis Penyerahan Tugas, di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kota Kinabalu. - Foto NSTP/Izhari Ariffin

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah akan meningkatkan operasi dan pemantauan di agensi dan jabatan kerajaan negeri ini, dalam usaha memerangi rasuah.

Pengarah SPRM Sabah yang baharu, Datuk Sazali Salbi, berkata lebih banyak program pencegahan rasuah akan diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, terutama menghindari rasuah serta menyalurkan maklumat berkaitan salah laku kepada SPRM.

"Pelbagai kejayaan SPRM Sabah tahun lalu boleh menjadi pemangkin bagi agensi ini memerangi masalah rasuah hingga ke akar umbi.

"Ini bagi memastikan peruntukan yang disalur sama ada daripada kerajaan Persekutuan atau negeri sampai kepada masyarakat," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Tugas Pengarah SPRM Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, menerima tugas Pengarah SPRM negeri daripada Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Integriti di Prasarana Malaysia Berhad.

Sazali berkata, pihaknya akan menjalankan analisis berterusan bagi mengambil kira beberapa faktor termasuk laporan tahunan agensi, nilai dana disalurkan, lampiran Ketua Audit Negara serta kenyataan pihak berkaitan sepanjang pemantauan terhadap agensi berkenaan.

Berita Harian X