Selasa, 14 Februari 2017 | 4:10pm
Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

BDB jana untung RM52.3 juta

KUALA LUMPUR: Bina Darulaman Bhd (BDB) mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM52.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, meningkat 28 peratus berbanding RM40.8 juta tahun sebelumnya.

Kumpulan pembangunan hartanah tempatan itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, menyatakan ia meraih pendapatan sebanyak RM356.6 juta sepanjang tempoh berkenaan, meningkat 47 peratus berbanding RM243.3 juta tahun sebelumnya.

Unit hartanah BDB merekodkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM213 juta tahun lalu, berbanding RM107 juta pada 2015.

Pada masa sama, keuntungan yang dijana unit hartanah BDB tahun lalu adalah lebih tinggi, khususnya disumbangkan oleh prestasi jualan lebih tinggi hartanah serta penjualan tanah.

Unit pembinaan jalan dan kuari pula meraih pendapatan sembilan peratus lebih tinggi kepada RM111.5 juta tahun lalu berbanding RM102.6 juta tahun sebelumnya.

Ia khususnya disumbangkan oleh projek pihak ketiga seperti kerja penyelenggaraan jalan PROPEL yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, unit pembinaan BDB menyumbangkan pendapatan sedikit lebih rendah sebanyak RM25.6 juta berbanding RM25.8 juta pada 2015.

Keuntungan yang direkodkan unit itu juga lebih rendah iaitu sebanyak RM4 juta berbanding RM16.3 juta pada 2015, berikutan pembayaran awal pembiayaan projek Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2016, BDB merekodkan keuntungan sebelum cukai RM36.9 juta, meningkat 37 peratus berbanding RM10 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Pendapatan yang diraihnya dalam suku berkenaan pula meningkat 45 peratus atau RM48.1 juta kepada RM143.9 juta berbanding RM105.8 juta yang dicatatkan dalam suku sama tahun sebelumnya.

Pendapatan dan keuntungan lebih tinggi pada suku keempat itu adalah hasil sumbangan lebih baik daripada unit hartanah kumpulan, yang merekodkan hasil lebih besar daripada jualan rumah di Taman Tunku Intan Safinaz (TTIS) serta penjualan tanah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X