Selasa, 14 Februari 2017 | 10:46pm

Piala FA: Sabah menang tipis ke atas UKM di Likas

PENYERANG pasukan Sabah, Jonathan Henri Desire William Behe (dua kiri) dikepung tiga pemain UKMFC pada perlawanan Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan

KOTA KINABALU: Sabah terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan UKM FC 1-0, dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Likas di sini, yang berakhir sebentar tadi.

Gol kemenangan skuad Sang Badak itu diperoleh menerusi jaringan Igor Cerina pada minit ke-13. Ia berpunca daripada umpanan Radzi Hussin sebelum disudahkan dengan baik pemain import berkenaan.

Selepas ketinggalan, UKM FC bangkit melakukan serangan balas hingga mencemaskan pintu Sabah, termasuk menerusi Helmi Hariri Ibrahim yang mendapat peluang baik gara-gara kesilapan Cerina dalam kawasan kotak penalti.

Bagaimanapun hajat Helmi yang hanya berdepan penjaga gol tuan rumah, Robson Rendy Rining tidak kesampaian.

Pada minit ke-39, tandukan Sofiane Choubani hasil sepakan percuma Masaya Jitzono hanya sedikit melepasi tiang gol UKM. Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Sebaik permainan bersambung, pelawat cuba mencari gol penyamaan menerusi beberapa serangan, namun buntu manakala tuan rumah yang mengeluarkan Jonathan Behe pada separuh masa pertama, turut terjejas rentak permainanya.

Pada minit ke-70, cubaan Choubani untuk menambah jaringan sempat diselamatkan penjaga gol UKM FC, Abdul Gafur Samsudin manakala cubaan pada minit terakhir menerusi Rawilson Batuil dipatahkan benteng pelawat sebelum pengadil Razlan Jofri Ali meniupkan wisel penamat.

Kemenangan itu bagaimanapun sedikit tercalar apabila ketua jurulatih Sabah, Steve Vilmiaire diarahkan keluar dari bangku simpanan selepas dipercayai membantah keras keputusan pengadil pada minit ke-71.

Berita Harian X