Rabu, 15 Februari 2017 | 12:21pm

Pendidikan tinggi penuhi acuan industri


GAMBAR hiasan.

PENDIDIKAN adalah pelaburan terpenting bagi setiap negara. Umumnya sistem pendidikan berperanan menyediakan keupayaan modal insan bagi menjayakan agenda pembangunan di samping mempunyai 'merit good' dalam aspek ketamadunan masyarakat, peningkatan keupayaan dan prestasi, pengurangan jenayah serta peningkatan kualiti kehidupan masyarakat umumnya.

Setiap tahun, negara memperuntukkan lebih 20 peratus daripada keseluruhan bajet tahunan untuk tujuan pendidikan awal, menengah dan pendidikan tinggi, termasuk pembangunan infrastruktur, pembiayaan operasi serta peningkatan kualiti pendidikan keseluruhannya.

Selain peruntukan bajet yang besar, sistem pendidikan juga perlu diurus dengan baik untuk mencapai maksud asalnya. Falsafah pendidikan negara bermatlamat memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dalam semua aspek. Penyata Razak 1956 misalnya, menjadi asas kepada sistem pendidikan negara bertujuan membentuk pendidikan kebangsaan yang dapat capai tujuan perpaduan kaum di negara ini.

Dalam konteks pendidikan tinggi, Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 atau PPPM (PT) dibentuk sebagai pemacu bagi merealisasikan hasrat Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan beracuan sendiri menjelang 2020 dan seterusnya.

Ia boleh dijayakan melalui penghasilan insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dan mentransformasi aktiviti ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi serta merentasi sempadan negara. Tuntutan semasa sedikit sebanyak mengubah fokus universiti dalam menentukan sumbangan mereka kepada pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.

Jika pada era awal kemerdekaan, penubuhan universiti lebih menjurus kepada mengisi agenda pembangunan negara bangsa, kini universiti berdepan cabaran lebih besar, khususnya bagi menampung keperluan negara untuk maju dan sejahtera dalam persekitaran lebih kompleks dan berpersaingan tinggi.

Banyak pihak mempersoalkan, mampukah universiti menjana graduan yang relevan kepada transformasi negara? Bersediakah graduan yang kita lahirkan memenuhi keperluan industri untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mapan? Persoalan ini mengajukan beberapa andaian, antaranya keperluan bidang pengajian di universiti tidak boleh lagi berorientasikan peperiksaan, sebaliknya berorientasikan industri.

Sedikit sebanyak ia juga mencabar falsafah sebenar sistem pendidikan yang dipegang golongan akademik dan institusinya. Meskipun pengajian di universiti tidak berorientasikan industri sepenuhnya, peranan industri tidak terpisah dalam konteks pembelajaran mahasiswa. Sebelum sesuatu kursus ditawarkan, ia perlu ambil kira kajian pasaran dan input pihak industri bagi memastikan silibus pengajian relevan dengan kehendak industri, sekali gus meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan.

Program 2U2i

Terkini, universiti awam memulakan penawaran program 2U2i. Pelajar program ini akan menyempurnakan pengajian selama dua tahun di universiti dan dua tahun di industri. Industri sememangnya menjadi antara rakan strategik penting universiti. Selain konteks pembelajaran, hubungan atau kerjasama universiti dan industri boleh dilihat dalam bidang penyelidikan mahupun pemindahan ilmu dan kepakaran.

Malah beberapa tahun kebelakangan ini, Phd Industri sudah diperkenalkan bagi meningkatkan keupayaan dan kepakaran tenaga kerja industri melalui penyelidikan yang dijayakan di universiti. Dalam aspek governan pula, ditetapkan agar wakil industri dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) di setiap universiti awam negara. Malah, sudah mula ada ahli Senat dilantik dari industri secara jemputan (co-opted members), pembabitan CEO dan ahli industri dalam pengajaran dan perkongsian pengalaman melalui CEO@Faculty Programme bagi membantu universiti meningkatkan kualiti di samping menentukan kerelevanan kursus dan program yang ditawarkan setiap masa.

Melihat kepada contoh kerjasama universiti dan industri ini, sangat jelas membuktikan universiti melakukan sebaik mungkin untuk memperkukuh jaringan industri bagi manfaat graduan mereka khususnya. Pada masa sama, pihak industri juga diharap ambil sikap sama, iaitu proaktif dan sentiasa menyambut kerjasama dengan universiti.

Industri diminta tidak 'berpeluk tubuh' dengan menunggu sahaja graduan universiti, tetapi bersama-sama ambil tanggungjawab meningkatkan tahap keupayaan dan kompetensi mahasiswa ketika di kampus lagi. Kerjasama utuh antara universiti dan industri sama sekali tidak boleh mengubah fungsi asalnya sebagai gedung ilmu dan taman pemikiran.

Universiti bukanlah institusi latihan yang mengeluarkan tenaga kerja semata-mata. Hal ini semakin relevan apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bukan sekadar melahirkan graduan sebagai modal insan, tetapi insan yang holistik. Bagaimanapun, dalam perkembangan dan tuntutan semasa khususnya mendukung pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP), kita tidak boleh nafi hakikat bahawa universiti kini perlu memastikan silibus pengajian dapat menterjemahkan aspirasi negara dan keperluan industri.

Pendidikan tinggi pacuan industri adalah realiti masa kini. Dalam merealisasikan hasrat ini, universiti dan industri perlu memperkukuhkan lagi kerjasama. Kedua-dua pihak perlu saling proaktif dan terkehadapan dalam memanfaatkan hubungan dan jaringan demi kebaikan bersama.

Berita Harian X