Rabu, 15 Februari 2017 | 9:08pm

Beregu jadi sandaran LTAM sumbang pingat Sukan SEA

MOHD Assri Merzuki (kiri) dan Syed Mohd Agil Syed Naquib. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Gandingan Syed Mohd Agil Syed Naquib-Mohd Assri Merzuki dan beregu wanita, Jawairiah Noordin-S Theiviya menjadi sandaran Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) mendapatkan pingat di Sukan SEA Ogos di sini.

Temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos ini.

Presiden LTAM, Mirzan Mahathir berkata, pihaknya tidak boleh menjanjikan pingat emas pada temasya sukan berkenaan, namun percaya sekurang-kurangnya akan ada pingat bagi acara itu.

"Saingan untuk tenis Sukan SEA sangat sengit kerana semua pemain dari 11 negara yang bertanding juga tidak kurang hebatnya.

"Kita mempunyai masa enam bulan dari sekarang untuk memantapkan pasukan dan saya percaya semua pemain akan memberi yang terbaik bagi temasya dwitahunan itu," katanya pada sesi bersama media di sini, hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Muliady Jamal tidak menolak kemungkinan akan ada elemen kejutan daripada pemain lain di Sukan SEA nanti.

"Antara pemain lain yang turut akan beraksi di Sukan SEA ialah Ahmed Deedat Razak, Muhammad Ashaari Zainal Abidin, Aslina Chua An Ping dan Yus Syazlin Nabila Yusri," katanya.

Dalam pada itu, Jawairiah mengakui sudah merasakan sedikit bahang serta tekanan menjelang sukan terbesar di rantau Asia Tenggara ini.

"Tekanan itu memang ada kerana bermain di tempat sendiri sudah pasti semua peminat tempatan mahu melihat kejayaan.

"Apa pun saya dan Theiviya sedang giat menjalani latihan untuk memantapkan lagi keserasian kami di gelanggang dan semoga kami meraih kejayaan pada Sukan SEA nanti," katanya.

Sebagai rekod, Jawairiah yang memenangi dua kejuaraan Jelajah Asia di Myanmar dan Vietnam (kategori individu) tahun lalu, baharu sahaja turun menjalani latihan pada 8 Februari lalu selepas terpaksa berehat akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Kedua-dua pemain wanita itu akan menimba pengalaman awal beraksi di Terbuka Malaysia ALYA WTA minggu hadapan selain dihantar ke Mesir selama sebulan sebagai persiapan menghadapi temasya dwitahunan berkenaan.

BERNAMA

Berita Harian X