Khamis, 16 Februari 2017 | 8:03pm

FAS sambut baik saranan Tengku Amir


Pengurus pasukan Selangor Liga Super, Abdul Rauf Ahmad pada majlis perkenalan pemain di dePalma Hotel Seksyen 19. - Foto NSTP/Osman Adnan

SHAH ALAM: Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyambut baik saranan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menggariskan tujuh langkah untuk memartabatkan kembali bola sepak negeri itu.

EXCO FAS, Abdul Rauf Ahmad yang juga pengurus pasukan Liga Super Selangor, berpendapat cadangan Tengku Amir itu mampu mengembalikan semula kegemilangan Gergasi Merah yang mempunyai rekod paling cemerlang dalam Liga Malaysia.

"Saya sangat kagum dan teruja dengan langkah yang diketengahkan Raja Muda Selangor," kata Abdul Rauf ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan pemain Piala Presiden Selangor di Shah Alam, hari ini.

"FAS melihatnya sebagai batu loncatan dan titik tolak kepada pembaharuan. Saya percaya semua EXCO dan ahli gabungan melihat (cadangan itu) sebagai satu perkara yang baik untuk bola sepak Selangor," katanya.

Antara tujuh langkah yang dicadangkan Tengku Amir termasuk mengehadkan tempoh seseorang itu memegang jawatan Presiden kepada hanya dua penggal, serta bukan dari kalangan orang politik.

"Apapun perubahan perlu mengikut perlembagaan. Pendapat itu satu pendapat yang baik tetapi perlu melihat daripada segi perlembagaan asas," kata Abdul Rauf merujuk kepada cadangan Tengku Amir berkaitan jawatan Presiden.

"Kita boleh perbaiki atau olah, tetapi terpulang kepada mereka yang terbabit dengan pembentukan statut dan perlembagaan berkenaan. Saya percaya ahli gabungan dan persatuan bola sepak negeri tahu apa yang baik untuk bola sepak Selangor dan FAS.

Tengku Amir yang juga penaung Diraja FAS, menggariskan tujuh langkah pembaharuan dan selain berkaitan jawatan presiden, jawatan EXCO serta Setiausaha juga dihadkan kepada dua penggal saja.

Selain itu, Tengku Amir juga mahu sekurang-kurangnya 60 peratus muka baharu dilantik untuk mengemudi persatuan itu pada pemilihan akan datang.

39 dibaca
Berita Harian X