Khamis, 16 Februari 2017 | 8:11pm
Pemain THLT, Nur Aisyah Hashim (kiri) diasak pemain PKS UNITEN, Surizan Awang Noh pada aksi perlawanan Liga Hoki Malaysia TNB (Wanita) di Stadium Hoki Batu Buruk. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

TLHT lebur rekod bersih PKS-UNITEN-KPT


Pemain THLT, Norazlin Sumantri (kanan) diasak pemain PKS UNITEN, Surizan Awang Noh (kiri) pada aksi perlawanan Liga Hoki Malaysia TNB (Wanita) di Stadium Hoki Batu Buruk. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) meleburkan rekod bersih PKS-UNITEN-KPT dengan kemenangan 5-1 dalam saingan Liga Hoki Wanita TNB Malaysia 2017 (TNB/MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk, sebentar tadi.

PKS-UNITEN-KPT menghuni tangga kedua di belakang TLHT dengan 12 mata, namun perbezaan jaringan menjadi pemisah kedudukan selepas mengharungi empat perlawanan sebelum ini.

TLHT membuka jaringan menerusi gol padang Nur Aisyah Hashim pada minit ke-13 sebelum pemain kebangsaan, Fazilla Sylvester Silin menambah gol kedua menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-28.

Pelawat cuba memberi saingan apabila melakukan serangan ke kubu tuan rumah menerusi Nurul Nabihah Mansur, namun gagal membuahkan hasil walaupun memiliki peluang terbaik pada minit ke-24.

Sebaliknya, kapten TLHT, Siti Noor Amarina Ruhaini terus menghukum kelekaan pelawat apabila meledak gol padang pada minit ke-31.

PKS-UNITEN-KPT mendapat gol semangat apabila membolosi gawang tuan rumah menerusi jaringan padang pemain kebangsaan, Fatin Shafika Mohd Sukri tiga minit kemudian tetapi TLHT yang dibimbing Mohd Asri Abd Aziz, melebarkan semula kedudukan, kali ini menerusi gol padang Wan Norfaiezah Md Saiuti pada minit ke-37.

Pemain kebangsaan itu mengesahkan kemenangan bergaya TLHT dengan gol peribadi kedua dalam perlawanan itu minit ke-49.

Berita Harian X