Khamis, 16 Februari 2017 | 10:14pm

PM selar tindakan pembangkang jatuhkan negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada majlis Sambutan Ulang Tahun Kumpulan UEM Ke-50 di Hotel Hilton Kuala Lumpur. Turut hadir Pengerusi UEM Group Bhd, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali (dua kanan). - Foto NSTP/ Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyelar tindakan memalukan ahli politik pembangkang yang cuba menjatuhkan negara dengan kenyataan tidak berasas demi kepentingan peribadi.

Perdana Menteri berkata, mereka tidak pernah membawa kisah kejayaan program yang kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) laksanakan yang sememangnya memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Katanya, bagi mereka, program seumpama itu tidak wujud sehingga menyebabkan tindakan ahli politik itu memberi kesan terhadap kehidupan rakyat di negara ini.

"Pihak pembangkang sering membuat tuduhan liar, tetapi slogan dan janji mereka yang diberikan kepada rakyat kosong.

"Bagaimanapun, kerajaan dan GLC yang bertaraf dunia akan terus memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 UEM Group Berhad (UEM Group) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz; Pengerusi UEM Group, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali; Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (KNB), Tan Sri Nor Mohamed Yakcob; Pengarah Urusan KNB, Tan Sri Azman Mokhtar serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group, Datuk Izzadin Idris.

Najib berkata, Malaysia bukan saja melaksanakan projek infrastruktur terbesar seperti Transit Aliran Ringan (LRT), malah turut membantu pelajar yang tidak dapat meneruskan pelajaran di universiti.

Katanya, peniaga kecil yang mahu melangkah ke peringkat seterusnya juga turut dibantu dengan sokongan daripada bank SME.

"Selain itu, kita juga mahu menyasarkan Malaysia menjadi antara 20 negara terbaik seluruh dunia dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan menjelang tahun 2050.

"Justeru, semua syarikat pembinaan di seluruh Malaysia perlu bekerja kuat bagi merealisasikan perkara berkenaan supaya dapat bersaing dengan syarikat gergasi negara lain," katanya.

Berita Harian X