Jumaat, 17 Februari 2017 | 12:24am

Kencing tikus, tiada virus misteri - KKM


KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Izhari Ariffin

KUALA LUMPUR: Kes seorang anggota tentera yang meninggal dunia akibat leptospirosis atau kencing tikus semalam, tiada kaitan dengan kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan di Tanah Merah, Kelantan sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hasil siasatan Kementerian Kesihatan (KKM), mangsa yang bertugas di Kem Tentera Bayan Lepas, Pulau Pinang sudah mula mengalami gejala demam dan sakit badan pada 8 Februari lalu, diikuti cirit birit dan sesak nafas.

Katanya, pada 12 Februari lalu, pesakit mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tanah Merah ketika pulang bercuti sebelum dirujuk menerima rawatan lanjut di Hospital Tanah Merah.

"Akhirnya, pesakit meninggal dunia semalam akibat komplikasi daripada jangkitan Leptospirosis yang dialaminya.

"Jangkitan leptospirosis bergantung kepada pendedahan yang berlaku antara manusia dengan haiwan atau persekitaran yang tercemar dengan bakteria Leptospira sama ada melalui aktiviti harian, pekerjaan atau rekreasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai virus misteri yang menjadi viral di media sosial sehingga dikaitkan dengan penutupan Sungai Congkak, Hulu Langat, Dr Noor Hisham, berkata sememangnya sebahagian sungai terbabit ditutup sementara waktu bagi tujuan pembersihan.

Namun begitu, katanya, ia tiada kaitan dengan jangkitan pernafasan dalam kalangan ahli keluarga di Kelantan yang mengadakan perjumpaan keluarga di sekitar Kajang.

"Begitu juga senarai lokasi yang dinyatakan melalui mesej yang tersebar berkenaan adalah lokaliti wabak tidak terkawal dan hotspot bagi wabak denggi. 

"Justeru, ia langsung tidak relevan - sebagaimana yang telah ditegaskan melalui kenyataan media sebelum ini.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih," katanya.

 

25 dibaca
Berita Harian X