Jumaat, 17 Februari 2017 | 6:54pm

Malaysia perlu 26,000 judul buku setahun

Pemain England, Manu Tuilagi (kiri) dan Anthony Watson pada saidang media di Hotel Keio. - Foto Reuters
Pemain England, Manu Tuilagi (kiri) dan Anthony Watson pada saidang media di Hotel Keio. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Kajian Kementerian Pendidikan menunjukkan Malaysia memerlukan lebih banyak buku berbahasa Melayu untuk memenuhi keperluan pendidikan dan sosial.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Seri Khairil Awang, berkata ia juga berdasarkan saranan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan amalan negara maju.

"UNESCO dan amalan negara maju menekankan penerbitan kira-kira 1,000 judul bagi setiap juta penduduk, sekali gus menjadikan Malaysia perlu menerbitkan sekurang-kurangnya 26,000 judul buku setahun.

"Industri buku perlu diiktiraf sebagai wahana penting dalam pembangunan sosiobudaya intelektual masyarakat sama ada menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan atau Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

"Ini kerana kemampuannya menjadi pemangkin pembentukan masyarakat berilmu, bersatu dan bermaklumat bagi mencapai status negara maju seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020," katanya pada Majlis Pelancaran Buku Siri Cinta Jawi, Kumpulan Puisi Tebaran Derita dan Sinar Bintang Berdua di Sanggar Tun Sri Lanang, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas; Pengerusi Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Abd Wahab Ibrahim dan penulis antologi puisi Sinar Bintang Berdua, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman serta Prof Emeritus Datuk Dr Hashim Yaacob dan penulis Buku Siri Cinta Jawi, Hamdan Abdul Rahman.

Ditanya mengenai perubahan tarikh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2016 dari 2 Mac ke 16 Mac, Khairil berkata, ia bukan isu besar kerana apa yang diutamakan adalah integriti keputusan yang dikekalkan.

Sementara itu, Abd Adzis berkata, penerbitan buku Siri Jawi adalah usaha memugar semula bahan bacaan dalam tulisan jawi khusus untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah dengan mendokumentasi kisah kanak-kanak klasik seperti Abu Nawas dan Ayam Jantan.

"Buku jawi amat kurang diterbitkan kerana segala bahan bacaan berkaitan jawi termasuk akhbar semakin merosot penerbitannya.

"Kita yakin jika pendidikan penulisan dan pembacaan jawi dihidupkan serta dimantapkan semula minat terhadap tulisan jawi akan kembali pulih," katanya.

Turut dilancarkan pada majlis itu ialah antologi puisi Tebaran Derita, iaitu himpunan puisi guru yang mengikuti Program Pengkarya Guru anjuran DBP dan MBKM sejak 2012 hingga 2016.

Berita Harian X