Sabtu, 18 Februari 2017 | 7:26am

Telefon peribadi Hitler dilelong RM1.3 juta


TELEFON peribadi Adolf Hitler bakal dilelong esok- Foto AP

WASHINGTON: Telefon peribadi Adolf Hitler yang banyak digunakan oleh diktator itu untuk mengeluarkan arahan ketika Perang Dunia II, bakal dilelong esok, lapor sebuah rumah lelongan Amerika Syarikat (AS), semalam.

Pada asalnya telefon itu berwarna hitam 'Bakelite' yang kemudian ditukar kepada warna merah dan diukir nama Hitler. Barangan antik itu ditemui di bilik rahsia pemimpin Nazi itu di Berlin pada 1945, berikutan kekalahan rejim itu.

Rumah lelongan Alexander Historical menganggarkan telefon antik itu bernilai antara AS$200,000 hingga AS$300,000 (RM890,600 hingga RM1.3 juta).

Pada Ahad ini, syarikat yang berpangkalan di Maryland, pantai timur AS, bakal melelong lebih daripada 1,000 barangan, termasuk telefon putar 'Siemens' dengan lambang 'swastika' dan simbol helang empayar Nazi atau Third Reich.

Rumah lelongan Alexander menggelar telefon itu sebagai 'senjata' pemusnah paling berbahaya kerana mengorbankan banyak nyawa.

Katanya, Hitler menggunakan telefon itu untuk mengeluarkan kebanyakan arahannya ketika dua tahun terakhir Perang Dunia II. - AFP

Berita Harian X