Sabtu, 18 Februari 2017 | 5:25pm

Perangi sarang tikus bendung leptospirosis


PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye ketika sidang media di Pejabat NIOSH Sabah, di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengisytiharkan perang habis-habisan membasmi tikus dan menjadikan kawasan mereka bersih daripada makhluk perosak itu.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pengendali makanan juga perlu memastikan premis mereka bersih, selain mendapatkan bantuan PBT dan syarikat pemusnah makhluk perosak bagi menangani masalah berkenaan.

Beliau berkata, perangkaan menunjukkan 31,771 orang dijangkiti leptospirosis dan 396 meninggal dunia akibat wabak itu dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.

Lam Thye berkata, Jabatan Kesihatan juga perlu meningkatkan kerjasama dengan agensi lain dalam menjaga kebersihan persekitaran.

"Semua pihak perlu melaksanakan peranan masing-masing untuk meningkatkan tahap kebersihan bagi membantu PBT memerangi leptospirosis.

"Semangat gotong-royong perlu dihidupkan semula dan penduduk di setiap kawasan kejiranan perlu bekerjasama menganjurkan kempen kebersihan bersama PBT.

"Orang ramai yang menunjukkan simptom berkaitan leptospirosis seperti demam, sakit kepala dan otot, perlu segera mendapatkan rawatan.

"Orang ramai juga boleh mendapatkan buku panduan penyakit leptospirosis yang boleh dimuat turun di laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.my," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes terbaharu membabitkan 40 individu dikuarantin di Hospital Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini selepas seorang lelaki mati disyaki akibat jangkitan kuman itu.

Katanya, Kementerian Kesihatan mendapati kebanyakan kes berkait dengan pekerjaan atau tugasan mangsa.

"Antara yang tergolong dalam kelompok berisiko tinggi adalah pekerja industri pertanian, sektor pengurusan sisa dan ladang ternakan, penjaga haiwan peliharaan dan mereka yang terbabit dalam tugas mencari dan menyelamat (SAR) atau aktiviti rekreasi.

"Mereka yang menghidapi penyakit kronik atau luka perlu lebih berhati-hati kerana mudah dijangkiti bakteria yang berpunca daripada persekitaran kotor dan kewujudan sarang tikus.

"Banyak pusat penjaja, longkang, lorong belakang dan kawasan perkelahan tidak dijaga dengan baik, menyebabkan sampah-sarap menjadi sarang tikus untuk mendapatkan sisa makanan," katanya.

Berita Harian X