Ahad, 19 Februari 2017 | 12:04am

Dapat keajaiban untuk kalahkan Alan Budi Kesuma

SKUAD badminton negara pernah berada di kemuncak kegemilangan dalam saingan berpasukan lelaki Piala Thomas. Rekod merangkul lima kali kejuaraan membuktikannya dengan kali terakhir piala keagungan itu singgah di tanah air pada tahun 1992. BH Sukan memaparkan kisah perjuangan wira negara serta individu di belakang tabir yang berjuang memastikan kejayaan pada tahun 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Bagi minggu ini, wartawan BH Sukan, HAIKA KHAZI mendapatkan pemain perseorangan kedua negara, Foo Kok Keong yang menjadi penyumbang mata kemenangan Malaysia, 25 tahun lalu.

SHAH ALAM: Ungkapan 'Never Ever Give Up' atau enggan menyerah kalah serta sanggup bermain sampai mati menjadi senjata utama bagi pemain perseorangan kedua negara, Foo Kok Keong, menewaskan lawan dari Indonesia, Alan Budi Kesuma dalam aksi final Piala Thomas 1992.

Pada perlawanan epik dan penuh debaran itu, Kok Keong yang turun selaku pemain bukan pilihan menumpaskan pemain senior Indonesia berkenaan straight set 15-6 dan 15-12 selepas bertarung lebih sejam di hadapan lebih 11,000 penonton di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Kejayaan Kok Keong menewaskan Alan, kemudian membakar semangat beregu Cheah Soon Kit/Soo Beng Kiang untuk bangkit mengalahkan pasangan Indonesia, Ricky Subagja/Rexy Mainaky, dalam set kedua dan tiga selepas tewas 'game' pertama.


KUALA LUMPUR 16 FEBRUARY 2017. (Gambar Fail) Foo Kok Keong. NSTP/Ihsan PEMBACA

KUALA LUMPUR 16 FEBRUARY 2017. (Gambar Fail) Foo Kok Keong. - Foto Ihsan PEMBACA

Pemain kelahiran Gombak, Selangor itu menegaskan kemenangannya ke atas pemain Indonesia berkenaan adalah satu keajaiban kerana Alan adalah pilihan untuk menang berdasarkan rekod pertemuan mereka, sebelum itu.

"Sebelum perlawanan, saya berasa amat tertekan dan kurang yakin kerana berdasarkan rekod pertemuan terdahulu yang banyak berpihak kepada Alan. Tambahan pula, saya baru saja ditewaskan oleh pemain China, Wu Wenkai (15-11 dan 15-8) dalam aksi separuh akhir, sehari sebelumnya.

"Tetapi siapa sangka sebaik saja perlawanan dengan Alan bermula kita dapat lihat nasib saya lebih 'Ong' (baik) daripada pemain Indonesia berkenaan. Saya seolah-olah tidak menghadapi sebarang tekanan dan dapat membaca setiap pukulan serta hantaran dibuat oleh Alan sehingga dia mati akal," katanya ketika ditemui wartawan BH Sukan di program rumah terbuka Tahun Baharu Cina di sini, baru-baru ini.

Fikiran amat tenang

Kejayaan Malaysia menewaskan musuh tradisi, Indonesia, 3-2 dalam perlawanan penuh debaran di Stadium Negara, sekali gus menyaksikan Malaysia menjulang piala itu buat kali kelima selepas kali terakhir melakukannya pada 1967.


KUALA LUMPUR 16 FEBRUARY 2017. (Gambar Fail) Foo Kok Keong. NSTP/Ihsan PEMBACA

Bagaimanapun, dalam perlawanan terakhir, Kwan Yoke Meng tewas di tangan Joko Suprianto 3-15, 7-15 untuk menjadikan kedudukan muktamad Malaysia menang 3-2.

Kok Keong berkata, antara faktor lain mendorong kejayaan Malaysia boleh membawa pulang Piala Thomas 1992 adalah kerana semangat juang dan kerjasama berpasukan yang baik ditunjukkan semua pihak, selain, corak latihan keras dan disiplin ketat diterapkan tiga jurulatih dari China.

Katanya, kejayaan Malaysia mara ke peringkat final Piala Thomas selepas menewaskan China adalah satu kenangan yang amat istimewa dan sukar dilupakan sehingga bila-bila.

"Ini kerana ketika perlawanan peringkat separuh akhir, Rashid Sidek, yang turun sebagai pemain perseorangan pertama mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan lawannya dari China, Zhao Jianhua (18-14, 10-15 dan 15-12), sebelum saya tewas kepada Wankai, manakala Kwan Yoke Meng kalah kepada Liu Jun.

"Bagaimanapun, dua pasangan beregu negara iaitu Razif/Jalani Sidek dan Cheah Soon Kit/ Soo Beng Kiang, berjaya bangkit untuk menewaskan pasangan China iaitu Tian Bingyi/Li Yongbo dan Huang Zhanzhong/Zheng Yumin, sekali gus membolehkan Malaysia mara ke pusingan akhir menentang Indonesia," katanya.


BEKAS pemain badminton, Foo Kok Keong pada sesi temubual untuk ruang imbauan Skuad Piala Thomas 1992 di Bukit Jelutong. - Foto NSTP/Osman Adnan

KUALA LUMPUR 16 FEBRUARY 2017. (Gambar Fail) Foo Kok Keong. NSTP/Ihsan PEMBACA

Kok Keong menegaskan dia tidak menolak kemungkinan kekalahannya kepada Wenkai di aksi semi final Piala Thomas 1992 kerana faktor kepenatan dan tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian.

"Saya tidak tahu kenapa saya tidak memberikan sepenuh perhatian ketika menentang Wenkai tetapi ia mungkin juga akibat terlalu tertekan dan kurang fokus walaupun sudah berusaha untuk bangkit selepas tewas set pertama.

"Malah, sampai sekarang saya tidak tahu kenapa saya tidak boleh mengawal permainan dan mempamerkan aksi sebenar seperti biasa dalam perlawanan separuh akhir berkenaan," katanya.

Justeru, Kok Keong mengakui bahawa kejayaan Malaysia merampas kembali Piala Thomas bukan sesuatu yang senang dicapai dan memerlukan pengorbanan semua pihak.

"Saya tidak tahu macam mana boleh tewaskan Alan Budi Kusuma kerana selalunya saya memang selalu tewas dengannya setiap kali kami bertembung tetapi pada hari itu fikiran amat tenang dan tindakan refleks saya amat cepat. Sebelum Alan buat hantaran atau pukulan smash, saya sudah boleh baca dan pintas setiap pergerakan serta pukulannya.

"Apabila masuk set kedua, dia (Alan) memang cuba untuk bangkit sehingga ramai penonton beranggapan saya tentu akan kalah jika kami terpaksa bermain tiga set kerana Alan memang pemain yang lebih bagus berbading saya.


KUALA LUMPUR 16 FEBRUARY 2017. (Gambar Fail) Foo Kok Keong. NSTP/Ihsan PEMBACA

"Tetapi hari itu entah kenapa dia kelihatan lebih tertekan dan tidak dapat mengawal permainan dengan bagus, sekali gus memberi kelebihan kepada saya untuk menang straight game," katanya.

Sementara itu, peluang Malaysia mengulangi kejayaan membawa pulang Piala Thomas tahun depan amat tipis kerana kita hanya boleh bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei, seorang sahaja.

Kok Keong berkata beliau tidak melihat ada pemain kebangsaan lain selain Chong Wei dapat membantu Malaysia memenangi Piala Thomas 2018.

"Sehingga sekarang tiada seorang pun pemain negara boleh mengatasi Chong Wei. Di zaman kami ramai pemain yang boleh menyaingi antara satu sama lain dan setiap seorang dari kami mempunyai kelebihan tersendiri.

"Malah, saya dan Rashid Sidek masing-masing pernah menjadi pemain nombor satu dunia. Oleh itu, tidak pelik jika di zaman itu setiap pemain mempunyai nama gelaran tersendiri misalnya saya dikenali sebagai pemain yang akan beraksi bermati-matian.

"Bagaimanapun, sekarang kita dapat lihat Chong Wei dianggap sebagai abang besar kerana pemain lain tidak mampu mengalahkannya dari dulu hingga kini," katanya.

Malah, berdasarkan pemerhatiannya, Kok Keong menegaskan pemain muda negara sekarang bukan hanya dilihat kurang bersungguh dan berdisiplin ketika berlatih, malah cepat hilang punca apabila berdepan lawan yang lebih kuat dan ternama.


KUALA LUMPUR 16 FEBRUARY 2017. (Gambar Fail) Foo Kok Keong. NSTP/Ihsan PEMBACA

Latihan keras

"Pada zaman saya dulu, jurulatih dari China memang amat tegas dan mementingkan usaha membina kekuatan diri, sehingga kami dipaksa berlari 1,500 meter; 500 meter; 200 meter dan 100 meter berulang kali di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

"Latihan fizikal ini memang penting bagi meningkatkan ketahanan fizikal dan mental pemain apabila kami terpaksa bermain bermati-matian sehingga lebih dua jam sebelum mencatatkan kemenangan," katanya.

Sebab itulah, Kok Keong berkata, jaguh badminton negara sering kalah apabila bertembung dengan pemain China di kejohanan antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia masih berpeluang menang Piala Thomas 2018 jika semua pihak dapat bekerjasama bagi melahirkan lebih ramai pemain perseorangan dan beregu yang bagus.

"Bukan senang untuk Malaysia muncul juara sekarang kita saya nampak seorang pun pemain mampu menandingi kehebatan Chong Wei.

"Kita memang ada ramai pemain perseorangan lelaki yang berbakat tetapi tahap kesungguhan, disiplin dan kemahuan untuk menang dalam diri mereka amat kurang berbanding generasi kami dulu. Kita tidak boleh bergantung kepada Chong Wei seorang untuk menang Piala Thomas," katanya.

Malaysia juga masih berpeluang menang Piala Thomas 2018 jika semua pihak termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kelab lain dapat bekerjasama rapat bagi melahirkan bakat muda berwibawa sehebat Chong Wei dan Skuad Piala Thomas 1992.


KUALA LUMPUR 16 FEBRUARY 2017. (Gambar Fail) Foo Kok Keong. NSTP/Ihsan PEMBACA

Profil:

  • Nama: Foo Kok Keong
  • Tarikh lahir: 8 Januari 1963
  • Umur: 54
  • Asal: Gombak, Selangor
  • Jawatan sekarang: Ahli Jawatankuasa dan Jurulatih Kelab Badminton Nusa Mahsuri mulai 1 Januari 1996 hingga sekarang
  • Mula bermain badminton sejak berusia 10 tahun.
  • Mewakili negara dalam enam kejohanan Piala Thomas 1984, 1986, 1988, 1990, 1992 dan 1994.
  • Terkenal dengan semangat melawan dan aksi berjuang bermati-matian ketika bertarung di atas gelanggang.
  • Mula mencipta nama apabila muncul juara kebangsaan pada 1984.
  • Dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1989.
  • Memenangi kejuaraan antarabangsanya yang pertama di Terbuka Perancis dengan menewaskan Rashid Sidek di final pada 1990.
  • Menerima Darjah Kebesaran B.S.D (1988), A.M.N (1990) dan K.M.N pada 1992.
  • Menggantungkan raket pada tahun 1994 dan mula menceburi bidang perniagaan.
  • Melancarkan buku autobiografinya bertajuk 'Never Ever Give Up' pada 2016.

Pencapaian:

  • 1984 - mula mencipta nama selepas muncul juara kebangsaan
  • 1986 - tempat ke-3, berpasukan Piala Thomas
  • 1988 - naib juara perseorangan lelaki di Kejohanan ABC dan Piala Thomas
  • 1989 - pingat perak perseorangan lelaki Kejohanan Piala Dunia, Guangzhou, China.
  • 1990 - Juara Terbuka Singapura dan Perancis; pingat perak Sukan Komanwel, Auckland; naib juara Piala Thomas; naib juara Sukan Komanwel (SUKOM), naib juara Terbuka Jepun, Hong Kong dan Malaysia.
  • 1991 - naib juara All England; Kejohanan ABC dan Terbuka Malaysia
  • 1992 - membantu Malaysia muncul Juara Piala Thomas dan naib juara ABC
  • 1994 - Juara Kejohanan ABC dan naib juara Piala Thomas
  • KUALA LUMPUR 16 FEBRUARY 2017. (Gambar Fail) Foo Kok Keong. NSTP/Ihsan PEMBACA
    BEKAS pemain badminton,(dari kiri); Wong Ewee Mun, Kwan Yoke Meng, Foo Kok Keong dan Abd Rashid Sidek pada sesi temubual untuk ruang imbauan Skuad Piala Thomas 1992 di Bukit Jelutong. - Foto NSTP/Osman Adnan
    Berita Harian X