Selasa, 21 Februari 2017 | 1:26pm
KETULAN mampat dadah jenis ganja yang di rampas dalam operasi di sebuah rumah di Pasir Gudang, Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
KETUA Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz (dua dari kanan) menunjukkan rampasan 72 ketulan mampat dadah jenis ganja yang di rampas dalam operasi di sebuah rumah di Pasir Gudang ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Seri Alam Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

Suami isteri ditahan edar dadah

KETUA Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz (dua dari kanan) menunjukkan rampasan 72 ketulan mampat dadah jenis ganja yang di rampas dalam operasi di sebuah rumah di Pasir Gudang ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Seri Alam Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

PASIR GUDANG: Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah bernilai RM180,000 dalam serbuan di rumah sewa mereka di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz, berkata kedua-dua suspek berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam dalam serbuan kelmarin, dan merampas 72 ketulan mampat tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja seberat 73,663 gram.

"Serbuan dibuat hasil intipan dan maklumat orang ramai dan pasangan terbabit dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak 2014 di sekitar Seri Alam, Johor Bahru dan Kota Tinggi.

"Polis turut merampas masing-masing sebuah PROTON Inspira dan Perodua Viva bernilai RM100,000, selain merampas wang tunai berjumlah RM1,500.

"Jumlah rampasan itu dadah itu boleh menampung anggaran 36,831 penagih dengan bekalan dadah untuk diedarkan sehingga empat bulan," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, hari ini.

Jokhiri berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu positif dadah jenis syabu, manakala pasangannya negatif dadah.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari mulai semalam sehingga 27 Februari ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM12.3 juta sepanjang tahun lalu.

Katanya, polis turut menahan 1,706 individu yang disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah, yang mana 1,648 daripadanya adalah warga tempatan yang mengikut Akta Dadah Berbahaya 1985 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

Berita Harian X