Selasa, 21 Februari 2017 | 5:03pm

Malindo Air lancar laluan KL-Jeddah

KETUA Pegawai Eksekutif Malondo Air, Chandran Rama Murthy. - Foto Muhd Amin Naharul

KUALA LUMPUR: Malindo Air melancarkan laluan penerbangan baharu dari Kuala Lumpur ke Jeddah, Arab Saudi, dengan transit sejam di Ahmedabad, India.

Malindo Air berkata, tambang promosi pergi-balik itu bermula daripada RM3,999 bagi kelas perniagaan dan RM2,899 bagi kelas ekonomi.

Syarikat penerbangan itu berkata, penerbangan dua kali seminggu ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Aziz, Jeddah, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu bermula hari ini sehingga 25 Mac 2017.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Murthy berkata, pembukaan laluan baharu ke Jeddah itu adalah untuk memasuki pintu masuk utama ke kota suci Arab Saudi, Makkah dan Madinah.

"Ia akan menyediakan satu lagi pilihan mampu milik bagi pelanggan beragama Islam kami untuk menunaikan umrah dan haji," katanya.

Chandran berkata Malindo Air yakin dengan sambutan terhadap laluan ini.

"Kami telahpun mempunyai rancangan untuk meningkatkan kekerapan kami daripada dua kali kepada empat kali seminggu dan penerbangan setiap hari semasa bulan Ramadan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X