Selasa, 21 Februari 2017 | 5:08pm

Idris Khan elak ganggu siasatan polis


PELAKON Idris Khan pada pelancaran mesin laser Picoway. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Pelakon, Idris Khan, 28, bukan mahu lari atau mengambil sikap berdiam diri selepas kontroversi penyebaran gambar separuh bogel seorang lelaki dan wanita yang masing-masing dikatakan mirip dirinya dan Atikah Suhaime, tular di alam maya.

Sebaliknya, kata pelakon Mr Donat Kamarel ini, beliau tidak mahu kenyataannya mengganggu proses siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

"Saya dinasihatkan oleh polis dan peguam supaya tidak membuat sebarang kenyataan kerana bimbang ia akan mengganggu proses siasatan.

"Namun, apa yang boleh saya kongsi setakat ini, siasatan dilakukan sudah pun selesai 70 peratus. Jadi, saya menunggu kertas siasatan itu lengkap dan kemudian saya akan fikirkan mengenai tindakan seterusnya yang bakal diambil," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran mesin laser Picoway di sini, hari ini.

Idris juga berkata, jika boleh beliau tidak lagu mahu memanjangkan isu terbabit dan seboleh-bolehnya mahu melupakan terus kontroversi itu.

"Apabila kes ini membabitkan pelanggaran undang-undang, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan. Namun, seboleh-bolehnya saya tidak mahu terus memikirkan soal itu. Saya mahu fokus kepada karier seni.

"Saya juga bersyukur kerana kontroversi yang berlaku tidak mengganggu perjalanan seni saya. Walaupun ada yang melihat saya agak sepi selepas kontroversi berkenaan, namun dari segi tawaran berlakon, ia tidak pernah putus," katanya yang turut bergelar penerbit dengan penubuhan produksi filem, Centro Pictures, bersama Pekin Ibrahim.

Sementara itu, ditanya mengenai persahabatannya dengan pelakon Ammar Alfian yang didakwanya sebagai dalang penyebaran gambar berkenaan, Idris mengaku mereka tidak serapat dulu.

"Kami ada berhubung, tetapi tidaklah sekerap dulu. Lagipun Ammar juga sudah berkahwin, jadi tentunya dia mahu meluangkan lebih masa bersama isteri," katanya.

Berkongsi perkembangan seninya, aktor ini berkata beliau bakal menjalani penggambaran filem susulan, Polis Evo 2.

Pada tahun ini juga, beliau akan menerbitkan dua filem baharu menerusi Centro Pictures, selain menunggu judul pertama keluaran mereka, KL Wangan, diputarkan di pawagam.

Berita Harian X