Selasa, 21 Februari 2017 | 11:01pm

Perubahan persekitaran perdagangan AS galak rundingan RCEP


KETUA Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud (tengah) berjabat tangan dengan Setiausaha Agung Asean-Korea Centre (AKC), Kim Young-sun (dua dari kiri) semasa sesi bergambar di Seminar 'Peluang Perniagaan dalam Pembuatan Pintar Malaysia' di Mida. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Pusat ASEAN-Korea (AKC) optimis perubahan yang berlaku dalam persekitaran perdagangan Amerika Syarikat (AS) akan menggalakkan perundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

"Dengan persekitaran kerjasama ekonomi yang berubah di rantau ini, termasuk keputusan kerajaan baharu AS terhadap TPP (Perkongsian Trans-Pasifik), RCEP semakin meningkat," kata Setiausaha Agung AKC, Kim Young-Sun.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Seminar Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)-AKC mengenai 'Peluang Perniagaan dalam Pembuatan Pintar Malaysia' oleh Duta Korea Selatan di Malaysia, Yu Hyun-seok, di sini, hari ini.

Kim berkata, RCEP adalah penambahbaikan kepada perjanjian perdagangan bebas ASEAN-Korea (FTA), merangkumi urusan perdagangan secara lebih luas.

"RCEP ialah platform perdagangan besar bagi anggota ASEAN dan rakan kongsi FTA untuk memudahkan perdagangan dan kerjasama ekonomi secara menyeluruh di rantau ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, berkata Malaysia berminat mempelajari pengalaman Korea Selatan dalam menggalakkan penggunaan pembuatan pintar.

"Korea Selatan adalah peneraju dalam industri robotik. Dengan mempelajari pengalaman dan teknologi mereka, ia akan dapat membantu industri Malaysia menuju ke arah revolusi perindustrian keempat iaitu industri berteknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah," katanya.

Kim berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menggalakkan pembuatan pintar di rantau ini.

"Malaysia memiliki tahap infrastruktur dan asas Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang lebih baik. Dasarnya menyokong ke arah revolusi perindustrian," katanya.

MIDA meluluskan pelaburan syarikat dari Korea Selatan dalam lima projek pembuatan bernilai RM1.53 bilion di antara Januari dan September tahun lalu.

Pelaburan itu meliputi projek dalam bidang elektrik dan elektronik, petroleum, termasuk segmen produk petrokimia dan produk kayu.

Seminar sehari yang disertai 90 syarikat tempatan itu adalah inisiatif bagi meningkatkan kesedaran dan minat terhadap peluang perniagaan bersama syarikat dari Korea Selatan dalam bidang automasi dan pembuatan pintar. - BERNAMA

Berita Harian X