Rabu, 22 Februari 2017 | 2:05pm

PERKESO Johor bayar pampasan RM69.6 juta


AHLI Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad (tengah) bersama Muhamad Alif Haikal Cheong Abdullah menyampaikan sumbangan daripada PERKESO kepada Rozita Musa di Taman Scientix, Pasir Gudang. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

PASIR GUDANG: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Johor membayar kira-kira RM69.6 juta faedah kepada pencarum yang layak bagi tempoh sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Muhamad Alif Haikal Cheong Abdullah, berkata bayaran itu membabitkan 25,573 kes yang meliputi faedah hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pencen ilat, pencen penakat, faedah orang tanggungan dan faedah pengurusan mayat yang diserahkan kepada pencarum atau waris.

Katanya, pihaknya sedang giat mempromosikan faedah berkenaan menerusi pemimpin masyarakat dalam usaha mendekati dan mendidik pekerja mengenai hak mereka, selain dorongan Skuad Prihatin PERKESO yang turun padang membuat bayaran.

"Bayaran caruman yang dikenakan kepada pekerja hanya 0.5 peratus yang dipotong dari gaji, manakala 1.75 peratus adalah tanggungan daripada majikan pekerja.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya 24 bulan caruman bagi tempoh 40 bulan dari tarikh kematian. Sekiranya caruman tidak mencukupi berikutan majikan enggan bayar caruman, ia secara tidak langsung akan menjejaskan pampasan faedah pekerja jika berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan wang pampasan kepada dua balu yang kematian suami di Jalan Serindit 26, Tamam Scientex dan Kampung Plentong Baru, Masai, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad.

Terdahulu, beliau menyerahkan cek faedah pencen penakat berjumlah RM540.80 dan faedah pengurusan mayat berjumlah RM1,500 kepada balu Zukarnain Muri iaitu Rozita Musa, 34, selain faedah pencen ilat berjumlah RM1,202.50 dan faedah pengurusan mayat berjumlah RM1,500 kepada balu Muhammad Hisham Ayis, Siti Zaleha Sani, 42.

Muhamad Alif Haikal Cheong berkata, Allahyarham Zukarnain terbabit dalam kemalangan berhampiran persimpangan Jalan Scientex, Kolej Komuniti, Taman Scientex pada 22 Januari lalu, manakala Allahyarham Muhammad Hisham meninggal dunia akibat barah hati bulan lalu.

28 dibaca
Berita Harian X