Khamis, 23 Februari 2017 | 12:06am

Hukum makan haiwan jalalah

Bolehkah orang Islam di luar negara mengorbankan lembu atau kambing yang telah memakan najis.

Haiwan yang tabiatnya suka memakan najis atau diberi makan najis secara berkala adalah dikategorikan sebagai haiwan jalalah. Haiwan jalalah mempunyai hukum tersendiri kerana anggota haiwan terbabit telah dicemari dengan najis yang dimakannya itu.

Hukum memakan daging haiwan berkenaan adalah makruh sejajar sabda Nabi SAW: "Nabi Muhammad SAW melarang daripada menunggang unta jalalah (yang telah memakan najis) dan meminum susunya." (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan Nabi SAW melarang umatnya daripada meminum susu dan menunggang haiwan ternakan yang telah memakan najis. Walau bagaimanapun, ulama telah mengklasifikasikan larangan itu sebagai makruh dan bukan menunjukkan kepada haram.

Sehubungan itu, hukum memakan dagingnya juga adalah termasuk dalam larangan Nabi apatah lagi untuk diberi makan kepada umat Islam yang lain.

HAIWAN jalalah dikurung terlebih dahulu sebelum disembelih untuk korban atau dimakan. - Foto hiasan

Justeru, bagi menyelesaikan permasalahan ini, mazhab Hanafi dan sebahagian fuqaha daripada mazhab Shafi'i seperti al-Nawawi, al-Mawardi serta al-Bujayrimi menyarankan haiwan jalalah dikurung terlebih dahulu sebelum disembelih untuk korban atau dimakan.

Tujuan haiwan itu dikurung adalah untuk memastikan supaya kesan najis seperti bau, rasa dan warna yang terdapat padanya hilang sepenuhnya. Secara umumnya tempoh kurungan yang disarankan terhadap kesemua haiwan jalalah ialah 48 jam atau dua hari dua malam.

Namun, jika kesan najis hasil daripada pemakanannya itu masih wujud pada anggota luaran dan dalamannya, maka tempoh kurungan perlu diteruskan sehingga melepasi tempoh 40 hari untuk unta, 30 hari (lembu), tujuh hari (kambing) dan tiga hari (ayam) seperti dinyatakan Ibn Umar.

Penulis ialah pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Berita Harian X