Khamis, 23 Februari 2017 | 9:36am

Iran hantar delegasi ke Arab Saudi runding haji


IRAN menghantar delegasi ke Arab Saudi untuk berunding mengenai penyertaan semula negara itu menunaikan haji, selepas memulaukan ibadat berkenaan tahun lalu. - Foto Reuters

TEHRAN: Iran menghantar delegasi ke Arab Saudi untuk berunding mengenai penyertaan semula negara itu menunaikan haji, selepas tidak membenarkan rakyatnya berbuat demikian tahun lalu.

Menteri Panduan dan Kebudayaan Islam Iran, Reza Salehi Amiri berkata, Tehran mahukan jaminan bagi memastikan 'maruah dan keselamatan' jemaah sebelum bersetuju menghantar semula rakyatnya mengerjakan haji, bermula akhir Ogos depan.

Laporan stesen televisyen tempatan menyebut, delegasi itu termasuk pegawai daripada Pertubuhan Haji dan Umrah Iran serta wakil pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berkunjung ke Arab Saudi lewat kelmarin atas jemputan pihak berkuasa negara itu.

Hubungan antara kedua-dua negara yang saling menyebelahi pihak bertelagah dalam konflik di Asia Barat, semakin buruk selepas ratusan jemaah, kebanyakannya rakyat Iran, maut dalam kes rempuhan pada 2015.

Iran menyalahkan Arab Saudi kerana tidak cekap menguruskan perjalanan ibadat itu di atas bencana berkenaan, dan memulaukan musim haji tahun lalu.

Keadaan bertambah tegang apabila Arab Saudi menghukum mati ulama Syiah pada Januari 2016, menyebabkan rakyat Iran yang marah menyerang kedutaan negara itu di Tehran, dan Riyadh memutuskan hubungan diplomatik. -Hindustan Times

Berita Harian X