Khamis, 23 Februari 2017 | 3:08pm

Kanser pembunuh ketiga tertinggi di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kanser adalah pembunuh ketiga tertinggi di Malaysia selepas serangan jantung dan kemalangan, malah bilangan penghidap penyakit itu juga meningkat setiap tahun.

Perunding Klinikal Onkologi, Institut Kanser Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Mastura Md Yusof, berkata secara amnya, ada pelbagai jenis kanser yang boleh membawa maut, tetapi paling lazim dalam kalangan wanita adalah kanser payudara dan serviks.

Katanya, bagi lelaki pula adalah kanser paru-paru dan usus.


PERUNDING Klinikal Onkologi, Institut Kanser Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Mastura Md Yusof. - Foto fail NSTP/Amirudin Sahib

"Risiko lebih tinggi bagi mereka yang ada sejarah kanser dalam kalangan keluarga. Penyakit keturunan seperti kanser payudara, ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

"Namun, penyakit ini boleh dirawat jika ia dikesan lebih awal. Susulan itu, saya sentiasa galakkan rakyat Malaysia tidak kira usia untuk membuat pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bertajuk 'Cancer Awareness' bersama kira-kira 50 kakitangan Media Prima Berhad (MPB) di Anjung Riong, Balai Berita, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, orang ramai perlu mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk tidak merokok dan bersenam untuk merendahkan risiko mendapat kanser.

Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan diet seimbang dan melebihkan pengambilan buah serta sayur.

Berita Harian X