Khamis, 23 Februari 2017 | 7:16pm

Wanita TLHT gah benam SSTMI


PEMAIN TLHT, Siti Rahman Othman (kiri) diasak penjaga gol SSTMI, Aina Nadiah Fadzil (tengah) pada aksi perlawanan Liga Hoki Malaysia TNB 2017 (Wanita) di Stadium Hoki Batu Buruk. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) mengukuhkan cengkaman di puncak liga selepas membelasah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 6-0 dalam saingan Liga Hoki Wanita TNB Malaysia 2017 (TNB/MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk, sebentar tadi.

Begitupun, SSTMI memperoleh pukulan sudut penalti, namun pukulan Ellya Amanina Ellias diselamatkan penjaga gawang TLHT, Siti Noor Hafiza Zainordin pada minit ke-8.

TLHT terpaksa menunggu seminit sebelum tamat permainan suku pertama menerusi gol padang pemain kebangsaan, Wan Norfaiezah Md Saiuti pada minit 14.

Sebaik suku kedua bersambung, SSTMI cuba memberi saingan memburu gol penyamaan, namun gagal menembusi benteng tuan rumah diketuai kapten, Siti Noor Amarina Ruhani.

Nuraini Abdul Rashid menambah gol kedua TLHT hasil pukulan sudut penalti pada minit 21 dan memerlukan empat minit meledak jaringan ketiga untuk pasukannya.

Pada minit 26, pemain kebangsaan itu mempamerkan sentuhan berbisa apabila mencipta hatrik menerusi jaringan padang menewaskan penjaga gol, Aina Nadiah Fadzil.

Dua minit berselang, Nuraini sekali lagi melebarkan jaringan menerusi gol padang sebelum melengkapkan kemenangan bergaya TLHT juga hasil gol padang minit 52.

Skuad bimbingan Mohd Asri Abd Aziz meraih kemenangan keenam dan satu seri dengan mengumpul 19 mata selepas tujuh perlawanan.

Berita Harian X