Jumaat, 24 Februari 2017 | 7:13pm

AEON tawar biasiswa kepada mahasiswa cemerlang


ABDULLAH (tiga dari kiri) pada Majlis Menandatangani Penawaran Program Biasiswa Pendidikan AEON Credit di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: AEON Credit Service (M) Berhad menawarkan biasiswa berjumlah RM800,000 melalui Program Biasiswa Pendidikan (PBP) kepada 20 mahasiswa cemerlang dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan.

Mahasiswa terbabit adalah daripada tiga universiti awam (UA), iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Pengerusi AEON Credit Service (M) Berhad, Datuk Abdullah Mohd Yusof, berkata biasiswa itu bertujuan mengurangkan bebanan kewangan mahasiswa terbabit untuk mengikut pengajian, selain memastikan mereka dapat menuntut ilmu dalam keadaan lebih sempurna.

"Ini adalah komitmen AEON Credit Service (M) Berhad untuk menyokong kecemerlangan mahasiswa dan bidang pendidikan yang menjadi sektor perkembangan negara.

"Biasiswa merangkumi sepanjang tempoh pengajian ini diharap dapat menggalakkan semangat mereka untuk terus cemerlang," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Penawaran Program Biasiswa Pendidikan AEON Credit di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni USM, Prof Datuk Dr Adnan Hussein dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UM, Prof Datuk Dr Rohana Yusof.

Berita Harian X