Jumaat, 24 Februari 2017 | 11:13pm

NS cemerlang di Kuantan


PEMAIN Kuantan FA, Muhammad Amer Syafeeq (kanan) dihalang pemain Negeri Sembilan, Bruno Junichi Suzuki (dua kiri) dalam saingan Liga Perdana 2017 di Stadium Darul Makmur. Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Negeri Sembilan mengukuhkan kedudukan di persada Liga Perdana apabila menewaskan Kuantan FA 3-1 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga adalah yang kelima berturut-turut diraih lawan manakala ia kekalahan pertama tuan rumah di laman sendiri.

Pada perlawanan itu, kecemerlangan Negeri Sembilan sudah diduga kerana pelawat tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan menerusi Junichi Suzuki yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Sheril Anuar Saini seawal minit kelapan.

Belum sempat tuan rumah mengatur strategi untuk mencari gol penyamaan, NegeriSembilan terus menggandakan kedudukan dengan gol kedua hasil sentuhan Marko Simic pada minit ke-13.

Peluang terbaik The Seagulls hadir pada minit ke-19, namun bola rembatan Norfahmie Hadrin Nordin melepasi palang skuad Rusa.

Ketinggalan 0-2, Kuantan FA yang mahu mengutip tiga mata berusaha memberi tekanan kepada pelawat tetapi kubu lawan itu kekal bertahan sehingga berakhir separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Zulhamizan Zakaria dilihat lebih banyak menguji benteng anak buah Mohd Asri Ninggal tetapi belum mampu membolosi gawang.

Sebaliknya, Negeri Sembilan terus menghukum kealpaan pertahanan tuan rumah apabila Simic menambah gol ketiga buat pasukannya yang juga gol kedua peribadi pada perlawanan itu.

Pada minit ke-88, pemain import tuan rumah, Shunsuke Nakatake menjaringkan gol tunggal buat Kuantan FA tetapi akur gagal menyekat lawan daripada pulang dengan tiga mata.

Berita Harian X