Sabtu, 25 Februari 2017 | 10:09pm

Abdul Latif raih emas Olahraga Perak All Comers


Abdul Latif Romly

IPOH: Atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly membuktikan beliau mampu menyaingi atlet normal apabila meraih pingat emas acara lompat jauh Kejohanan Olahraga Perak All Comers di Stadium Perak di sini, hari ini.

Abdul Latif membuat lompatan sejauh 7.40 meter pada percubaan keenam untuk menewaskan Lukman Hakim (7.21m) dan Mohd Shahrin Azuan Jamaika (6.93m), yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Atlet berusia 19 tahun dari Kampung Paya Kelubi, Arau, Perlis itu berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi dan keputusan yang dicatatnya hari ini.

"Walaupun hujan, saya masih dapat mencatatkan keputusan yang baik," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata kejayaan pada kejohanan ini adalah pembekal semangat untuknya menghadapi Kejohanan Terbuka Malaysia bulan depan, dalam usahanya melayakkan diri ke Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Menurutnya, beliau turut fokus untuk meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di London, Julai nanti.

Abdul Latif adalah pemenang pingat emas acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) lelaki, sekali gus mencipta rekod baharu dunia dengan catatan 7.60m di Sukan Paralimpik Rio, September tahun lalu.

Rekod terdahulu 7.35m adalah miliknya sendiri yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar pada 2015, manakala rekod Sukan Paralimpik, 7.25m dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol yang dilakukan pada edisi 2012 di London.

Sementara itu, hari pertama saingan menyaksikan Raja Nursheena Raja Azhar dari pasukan MAF Kita Juara mencipta rekod baharu kejohanan bagi acara 100m lari berpagar dengan catatan 13.70 saat, memadam rekodnya sendiri 13.82s pada 2015.

Kejohanan dua hari mulai hari ini yang dianjur bersama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Persatuan Olahraga Perak dan Majlis Sukan Negeri Perak, disertai lebih 800 atlet.

Berita Harian X