Ahad, 26 Februari 2017 | 4:48pm

Kos operasi turun 30 peratus dengan transformasi IT

SEPANG: Malaysia Airlines Bhd menjangka dapat mengurangkan kos operasi antara 20-30 peratus dengan transformasi teknologi maklumat (IT) yang sedang dilaksanakannya ketika ini.

Ketua Pegawai Maklumat, Tan Kok Meng, berkata bahagian IT syarikat penerbangan nasional itu kini giat melaksanakan transformasi IT yang merangkumi tiga bidang utama iaitu transformasi teknologi, transformasi perniagaan dan transformasi digital.

Beliau berkata, pelaksanaan transformasi IT itu bertujuan menyediakan pelanggan Malaysia Airlines dengan perkhidmatan dan produk inovatif, khusus dan berfokuskan pengguna sejajar dengan usahanya untuk memastikan kelancaran pengalaman pengembaraan pelanggan.

"Kemunculan teknologi baharu mengubah cara kami mengendalikan perniagaan dan berhubung dengan pelanggan.

"Kami melihat IT sebagai pemacu utama dan dapat membezakan perniagaan kami dengan syarikat penerbangan lain," katanya dalam temubual bersama media di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai transformasi teknologi, Kok Meng berkata, syarikat memulakan transformasi itu dengan pemindahan pusat datanya kepada model perkomputeran awan.

Beliau berkata, penggunaan model perkomputeran awan itu membolehkan Malaysia Airlines bertindak balas dengan pasaran secara lebih pantas dan ia lebih menjimatkan kos memandangkan pihaknya hanya membayar mengikut penggunaan dan mempunyai fleksibiliti dari segi kapasiti.

"Kami secara progresif beralih kepada platform dalam talian termasuk penggunaan Office 365, pengenalan sistem pengurusan cara kerja serta menubuhkan Solution Cafe yang menjadi pusat sehenti bagi kakitangan untuk menyelesaikan masalah peranti mereka dan mencuba teknologi baharu yang terdapat di situ (Solution cafe)," katanya.

Dari segi transformasi perniagaan pula, Kok Meng berkata, ia membabitkan peralihan kepada penggunaan Sistem Perkhidmatan Penumpang (PSS) yang baharu iaitu Amadeus Althea Suite.

Beliau berkata, penggunaan sistem Amadeus Altea Suite membolehkan syarikat penerbangan nasional itu mengurus dan menambah baik proses teras penumpang, termasuk tempahan, inventori dan kawalan pelepasan dengan lebih cekap dan berkesan.

"Sistem baharu ini mempunyai kemampuan untuk digunakan secara mudah alih yang mana kami jangka sistem ini akan membantu kami untuk menarik pelanggan baharu terutama generasi muda yang gemar berbuat sesuatu dengan menggunakan peranti mudah alih mereka seperti tempahan tiket dan daftar masuk.

"Sistem ini akan beroperasi pada pertengahan tahun ini yang mana memberi pengalaman baharu kepada pelanggan kami dan pada masa sama memberi ruang kepada kami untuk bersaing dengan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan," katanya.

Mengenai transformasi digital pula, Kok Meng berkata, strategi digital MAB bertumpu kepada transformasi model perniagaan menerusi pendigitalan dan inovasi dengan fokus kepada perkomputeran berawan, data besar dan mobiliti.

Beliau berkata, sebagai permulaan, MAB menganjurkan MABHackathon pada 18 dan 19 Februari ini bagi menggalakkan pengatur cara, pemaju dan pereka kreatif untuk membangunkan aplikasi inovatif yang dapat meningkatkan pengalaman pengguna Malaysia Airlines serta memantapkan kecekapan operasinya.

INFO

* MAB ditubuhkan pada 2014

* Menerbangkan 40,000 penumpang sehari

Berita Harian X