Selasa, 28 Februari 2017 | 3:32pm

TLDM dapat LCS lebih awal


TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum. - Foto Hafiz Sohaimi

LUMUT: Kapal tempur persisir atau 'Littoral Combat Ship' (LCS) pertama yang masih dalam proses pembinaan dijangka dapat diserahkan lebih awal kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, berkata kapal berkenaan dan lima lagi yang akan dibina dengan kos keseluruhan RM9 bilion itu dibuat sepenuhnya di negara ini hasil usaha strategik antara Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dengan TLDM.

Beliau berkata, kapal tempur terbesar negara itu dijangka disiapkan dan diterima secara berperingkat bermula April 2019.

Katanya, ini berikutan komitmen diberikan BNS termasuk mempertingkatkan tahap pengurusan semasa kerja pembinaan dijalankan mampu menyiapkan LCS dalam masa lebih singkat.

"Mengikut kontrak kapal terakhir akan diserahkan pada tahun 2023, namun BNS akan usahakan supaya ia dapat disingkatkan dari tempoh ditetapkan dan perkembangan kerja pembinaan (LCS pertama) juga berjalan lancar dengan 50 peratus sudah disiapkan.

"Kita berharap kapal pertama dapat digunakan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) dalam masa dua tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peletakan Lunas Kapal LCS 2 di BNS di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Pengarah Urusan BNS, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.

24 dibaca
Berita Harian X