Selasa, 28 Februari 2017 | 10:57pm

Sabah tersungkur di tangan UiTM

PEMAIN Sabah, Maxius Musa diasak pemain UiTM FC, Nik Syafiq Syazwan Nik Min pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi. - Foto Lano Lan

KOTA KINABALU: Episod malang Sabah di gelanggang sendiri berpanjangan apabila kecundang pula di tangan UiTM FC.

Skuad Badak tunduk 2-3 dalam aksi di Stadium Likas, yang berakhir sebentar tadi.

Dalam perlawanan agak sengit itu, tuan rumah ketinggalan pada minit ke-24 menerusi jaringan sendiri tenaga import mereka, Igor Cerina, yang tertampan bola ke gawang selepas satu serangan.

Namun, dua minit kemudian, Ummareng Bacok berjaya menyamakan kedudukan buat Sabah hasil cubaan dari luar kotak penalti.

Pasukan pelawat tidak perlu menunggu lama untuk kembali mendahului apabila berjaya mendapatkan gol hasil jaringan Muhammad Asnan Awal Hisham, seminit kemudian.

Babak pertama turut menyaksikan penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining, terpaksa dikeluarkan kerana cedera selepas berlanggar dengan rakan sepasukan, Rawilson Batuil pada minit ke-42 dan digantikan oleh Rozaimie Rohim.

Bermula separuh masa kedua, UiTM memperoleh gol kedua hasil jaringan penyerang import, Donghyun Do, pada minit ke-50.

Tuan rumah kemudian merapatkan jurang pada minit ke-59 hasil rembatan sepakan percuma Sofiane Choubani.

Usaha Sabah untuk memburu gol semakin sukar apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila pertahanan mereka, Rawilson Batuil, dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-78.

Berita Harian X