Rabu, 1 March 2017 | 3:53pm
TIMBALAN Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Nik Azlan Abd Hadi (dua dari kiri) disaksi Pengetua Maahad Tahfiz, Mohd Sukeri Mohd Noor (kiri) menyampaikan Anugerah Khas Terbaik kepada pelajar, Nik Abdul Muiz Nik Mustapa (kanan) di Majlis Khatam Al-Quran Pelajar-Pelajar Semestar 6 Sesi 2016/2017 Maahad Tahfiz di Masjid Al-Mawaddah, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

MAIK hulur sumbangan RM300,000 kepada pondok terbakar

TUMPAT: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyerahkan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada pondok Madrasah Al Badriah, Kampung Jal Besar, di sini, yang terbakar semalam.

Pembiayaan itu membabitkan RM230,000 untuk membina semula pondok yang hangus manakala selebihnya kepada pelajar pondok yang menerima RM1,000 seorang untuk 70 pelajar yang terjejas.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Azlan Abd Hadi, yang turut mengunjungi lokasi kebakaran, sebentar tadi.

Nik Azlan berkata, Yang Dipertua MAIK yang juga pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra, bertitah supaya tindakan segera diambil untuk membantu mangsa.

"Kami anggarkan pembinaan semula pondok sebanyak RM230,000 kerana saya dimaklumkan kerugian kira-kira RM200,000.

"Kami berharap ia dapat dibangunkan segera sebab pondok adalah sebagai pusat ilmu dan atas kepentingan itu pembinaannya tidak boleh ditangguh," katanya kepada pemberita, di sini.

Dalam kejadian jam 8.20 malam semalam, 44 unit pondok terbakar akibat litar pintas tapi 120 pelajar terselamat kerana berada di madrasah untuk kelas pengajian agama.

Beliau berkata, MAIK akan terus memberi sebarang bantuan yang diperlukan termasuk mendapatkan buku agama serta al-Quran yang hangus dalam kebakaran itu.

"Kami juga mengharapkan agar pihak lain akan turut menghulurkan bantuan dan sumbangan bagi keselesaan pelajar," katanya.

Berita Harian X