Rabu, 1 March 2017 | 7:43pm

Axiata Digital, Huawei jalin kerjasama

BARCELONA: Axiata Digital, anak syarikat milik penuh Axiata Group Bhd dan Huawei memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi bersama-sama mempromosikan perkhidmatan Internet untuk Segala-galanya (IoT) di seluruh Asia.

Menerusi perjanjian itu, Huawei yang juga penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global akan menyediakan teknologi ketersambungan IoT tercanggih dan aplikasi seperti kereta pintar, rumah pintar, meter pintar dan lain-lain.

Axiata Digital pula akan menyediakan aplikasi IoT berasaskan perkomputeran awan sebagai platform yang membolehkan perkhidmatan digunakan secara meluas dan kos yang cekap.

Perkongsian IoT antara Axiata dan Huawei dijangka memberi manfaat kepada pelanggan Axiata di seluruh 10 negara di rantau ini dan ia dapat dimanfaatkan oleh perniagaan mudah alih termasuk portfolio perkhidmatan dalam talian.

Menerusi IoT, rangkaian meluas daripada produk pintar seperti peranti pintar, automotif pintar, kediaman dan bandar dapat membantu mengurangkan pembaziran, meningkatkan tahap kecekapan seperti penggunaan tenaga sekali gus memperkasakan gaya hidup dan kerja seseorang.

Sebagai sebahagian daripada usaha kerjasama IoT itu, Axiata Digital dan Huawei akan memulakan langkahnya dengan bekerjasama untuk melancarkan perkhidmatan kereta pintar di beberapa negara dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

"Strategi utama IoT Axiata Digital adalah membangunkan ekosistem IoT kepada pelbagai industri. Matlamat kami adalah untuk membolehkan aplikasi bebeas IoT boleh digunakan menerusi platform IoT Axiata dan menyediakan perkhidmatan inovatif," kata Ketua Pegawai Strategi Axiata Digital, Zoran Vasiljev.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital, Mohd Khairil Abdullah, berkata: "IoT adalah tunggak kepada tumpuan utama pelaburan kami dan kami akan menawarkan perkhidmatan hasil kerjasama berpotensi dengan rakan niaga kami di pasaran yang kami sertai."

Berita Harian X