Rabu, 1 March 2017 | 11:02pm

T-Team, FELDA United berkongsi mata

PEMAIN Felda United, Mohamad Fazrul Hazli Mohd Kadri (tengah) diasak pemain T-Team FC, Mohd Kamal Azizi Mohd Zabri (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori


KUALA TERENGGANU: T-Team gagal manfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila terikat tanpa jaringan dengan FELDA United dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam ini.

Pada perlawanan itu, kedua pasukan mempamerkan corak permainan berhati-hati dengan sesekali melancarkan serangan.

Pada minit ke-19, tuan rumah mencemaskan kubu pertahanan pelawat menerusi hantaran lintang pertahanan kanan, Mohamad Kamal Azizi Mohd Zabri, namun Mamadou Samassa lambat menyambar hantaran.

Pelawat melakukan percubaan menerusi pemain importnya, Lucas Matias Cano, namun mudah diselamatkan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin minit 32.

Lima minit selepas itu, The Titans berpeluang menjaringkan gol, tetapi Mohd Nor Hakim Hasan gagal menewaskan Mohd Farizal Harun sekalipun berdepan satu lawan satu.

Sebaik bersambung babak kedua, pengendali FELDA United, B Sathianathan mengeluarkan penyerang importnya, Gaston Adres Javier Cellerino dengan membawa masuk Muhammaf Hadin Azman.

Pemain gantian T-Team, Mohammad Ramzi Sufian terlepas peluang keemasan apabila rembatannya sempat ditepis keluar Mohd Farizal minit 61.

Pada minit 78, The Fighters terpaksa bermain 10 pemain apabila pengadil perlawanan, J Suresh melayangkan kad merah kepada pertahanan import, Mootaz Bellah El Jounaidi selepas mengasari Mohammad Ramzi.

Namun, pelawat ampuh bertahan hingga wisel penamat walaupun tuan rumah melakukan asakan bertali arus di hujung permainan.

Berita Harian X