Khamis, 2 March 2017 | 9:15am

Affin Hwang, Hong Leong kekal saranan 'pegang' saham FGV

KUALA LUMPUR: Affin Hwang Capital Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dengan sasaran harga juga kekal pada RM1.86.

Firma penyelidikan itu berkata, FGV mencatat keuntungan bersih sebanyak RM154.5 juta yang melebihi jangkaan bagi tahun kewangan 2016, didorong sumbangan di luar unjuran daripada unit perladangan FGV.

Hasil kumpulan itu meningkat 11 peratus bagi tahun-ke-tahun kepada RM17.3 bilion, berikutan peningkatan sumbangan oleh semua peringkat bahagiannya.

"Kami menjangkakan peningkatan hasil tandan buah segar (TBS) dan pengeluaran minyak sawit mentah bagi memacu pertumbuhan keuntungan pada 2017," katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank turut mengekalkan saranan 'pegang' saham FGV dengan sasaran harga RM1.73.

Firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran keuntungan bersih FGV bagi tahun kewangan 2017-2018 masing-masing sebanyak 18.1 peratus dan 4.6 peratus, sebahagian besarnya berikutan ketiadaan perbelanjaan bagi tujuan penanaman semula.

Pada 11.40 pagi ini, saham-saham FGV susut satu sen kepada RM1.87 dengan sejumlah 7.42 juta saham berpindah tangan. - BERNAMA

Berita Harian X