Khamis, 2 March 2017 | 12:52pm

Kelantan diminta umum pelan bendung HIV


DATUK Ahmad Jazlan Yaakub bergambar bersama pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), ketika merasmikan Program Outreach Pendidikan Kesihatan dan Hari Terbuka Asrama di perkarangan KPTM, Lembah Sireh. - Foto Fathil Asri.

KOTA BHARU: Peningkatan kes HIV di negeri ini amat membimbangkan dan perlu dibendung segera oleh kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata kerajaan negeri perlu segera mengumumkan tindakan yang akan diambil bagi mencegah perkara itu.

"Sebagai seorang pemimpin di negeri ini, saya amat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat yang menyatakan berlaku peningkatan kes HIV di negeri ini berpunca daripada gejala songsang seperti homoseksual dan hetroseksual.

"Bagi saya ini adalah amat serius kerana selama ini kita beranggapan kes HIV di negeri ini berpunca daripada berkongsi jarum suntikan saja tapi ia juga akibat perbuatan seks luar tabii," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Outreach Pendidikan Kesihatan dan Hari Terbuka Asrama Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Lembah Sireh, di sini, hari ini.

Pada 28 Februari lalu, Masir mendedahkan seramai 40 orang yang mengamalkan hetroseksual di negeri ini dijangkiti HIV pada 2015 dan meningkat kepada 50 orang pada 2016.

Bagi kes homoseksual, pada 2015 mencatatkan angka 10 orang dan meningkat kepada 20 orang untuk 2016.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dan tidak menyerahkan kepada Kerajaan Pusat semata-mata mengenai isu berkenaan.

"Kerajaan Pusat sudah lakukan banyak program kesedaran, bermacam-macam pendekatan dibuat, tetapi kerajaan negeri perlulah lihat secara jelas dan bukan sekadar retorik semata-mata.

"Kalau boleh ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan in, EXCO atau Menteri Besar perlu menjawab apakah tindakan yang akan diambil kerajaan negeri secara jelas dan pelan tindakan ini yang kita hendak tahu," katanya.

Berita Harian X