Jumaat, 3 March 2017 | 12:21am

800 laman web tawar cecair Vitamin C

KUALA LUMPUR: Pengambilan suntikan vitamin C yang kini popular dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk selebriti, tidak dibenarkan di negara ini kerana boleh membawa maut.

Ini kerana suntikan vitamin C tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekali gus tidak boleh diambil sama ada dengan atau tanpa kebenaran doktor.

Ketika ini, terdapat lebih 800 laman web, media sosial dan lain-lain platform digital dikesan menawarkan produk ubat-ubatan serta kosmetik secara dalam talian, termasuk suntikan vitamin C tanpa kelulusan KKM sejak 2014.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengambilan dengan dos berlebihan tanpa kawalan boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang.

"Keadaan ini menjadi lebih teruk sekiranya pengguna mempunyai penyakit buah pinggang yang seterusnya boleh membawa maut.

"Pengambilan vitamin C berlebihan juga menyebabkan kesan sampingan seperti cirit-birit, loya, muntah, ketidakselesaan perut dan pembentukan batu karang," katanya kepada BH Plus.

Penjualan suntikan vitamin C masih berlaku disebabkan terdapatnya permintaan, bagaimanapun ia satu kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1989 (PPKDK 1989).

Pengiklan produk suntikan vitamin C juga melakukan kesalahan mengikut Akta Jualan Dadah 1952.

Wartawan BH yang melayari internet sejak dua minggu lalu mendapati puluhan syarikat dan individu mengiklan serta menjual produk berkenaan dengan menawarkan pelbagai promosi bagi melariskan jualan mereka.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan Seksyen Risikan dan Forensik Siber (SIFS) Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM mendapati kebanyakan produk suntikan vitamin C itu dibawa secara tidak sah dari China, Thailand dan India.

"Siasatan SIFS juga mendapati ia dijual secara atas talian dan nama laman web mereka sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Facebook serta Google untuk tindakan sekatan dan menutupnya," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna tidak terpedaya dengan iklan jualan ubat-ubatan secara dalam talian, sebaliknya menyemak status pendaftarannya sebelum membeli.


ANTARA iklan jualan produk suntikan vitamin C di Facebook.

Orang ramai boleh menyemaknya menerusi laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi mengetahui status produk berkenaan.

Dengan pautan www.npra.moh.gov.my. melalui aplikasi 'QUEST products search', semakan boleh dibuat dengan menggunakan kriteria seperti nama produk, nombor pendaftaran produk atau nombor notifikasi, pemegang pendaftaran/notifikasi, bahan aktif atau kandungan bahan, nama pengilang dan pengimport.

"Sekiranya produk itu tidak berdaftar/bernotifikasi, tiada maklumat akan tertera. Justeru, pengguna boleh membuat aduan ke Bahagian Perkhidmatan Farmasi untuk diambil tindakan ke atas pengendali perniagaan secara dalam talian terbabit," katanya.

Beliau berkata, bagi menyedarkan orang ramai mengenai bahaya menggunakan produk tidak berdaftar itu, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM mewujudkan 15 laman rasmi Facebook kementerian dan WhatsApp.

"Kita akan terus mengadakan kempen kesedaran supaya pengguna menjaga keselamatan dan kesihatan, serta memberi amaran mengenai bahaya menggunakan produk tidak berdaftar," katanya.

Sementara itu, tanpa preskripsi doktor, pengguna dengan mudah boleh membeli cecair vitamin C untuk disuntik pada badan, dengan hanya melayari laman web atau laman sosial.

Wartawan BH yang melayari internet mendapati ratusan syarikat dan individu mengiklan serta menjual produk berkenaan dengan menawarkan pelbagai promosi bagi melariskan jualan mereka.

Tanpa pendaftaran atau meminta dokumentasi pengguna, wartawan BH ditawarkan pelbagai produk sama ada untuk kegunaan mencerahkan kulit atau memulihkan kulit bermasalah.

Selepas memaklumkan tujuan pembelian vitamin C, wartawan BH ditawarkan cecair vitamin C buatan sebuah syarikat di Itali seberat 600 mg untuk set pencerahan kulit pada harga RM230 sekotak.


PRODUK suntikan vitamin C dijual menerusi laman sosial Facebook.

Penjual yang dihubungi menerusi laman sosial Facebook, berkata set itu adalah untuk kegunaan 10 kali rawatan yang mana pengguna dikehendaki membawanya sendiri ke klinik bagi mendapatkan suntikan daripada doktor bertauliah.

Katanya, pengguna akan dikenakan bayaran RM10 hingga RM20 untuk setiap kali suntikan.

Pakar Perubatan dan Dermatologi Hospital Serdang, Doktor Kartini Farah Rahim, berkata suntikan vitamin C tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan pembelian menerusi internet boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

"Walaupun tiada bukti klinikal yang menunjukkan pengambilan suntikan itu boleh mencantikkan kulit seseorang, ia tetap mendapat sambutan pengguna.

"Walaupun vitamin C larut air dan dikumuhkan melalui buah pinggang, ia boleh merosakkan buah pinggang jika diambil dos berlebihan. Dos berlebihan tanpa kawalan juga boleh menyebabkan kepekatan vitamin C di dalam badan menjadi sangat tinggi.

"Keadaan ini menjadi lebih teruk sekiranya pengguna mempunyai penyakit buah pinggang yang seterusnya boleh membawa maut," katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Perubatan dan Dermatologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, beliau sering menasihatkan pesakit yang mengambil suntikan itu supaya menghentikannya segera.

Sementara itu, Pakar Perubatan Estetik, Klinik Premier, Dr Michelle Lai Wai See, berkata suntikan vitamin C boleh mendatangkan kesan buruk ke atas kesihatan dalam jangka masa panjang.

"Kebanyakan vitamin C diimport dari luar dan pengguna perlu tahu kandungannya. Tambahan pula suntikan vitamin C tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan. Pengambilan vitamin C bagi memutihkan kulit boleh juga merosakkan buah pinggang dan hati," katanya.

INFO: Siasatan Seksyen Risikan dan Forensik Siber KKM:

  • Sebanyak 658 laman web dipantau pada 2014.
  • Bertambah ke 685 pada 2015.
  • Meningkat 814 pada Disember 2016.
  • Pemantauan diperluaskan ke Instagram, WeChat dan WhatsApp.
132 dibaca
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Izhari Ariffin
PAKAR Perubatan dan Dermatologi Hospital Serdang, Doktor Kartini Farah Rahim. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X