Jumaat, 3 March 2017 | 4:11pm

2 pegawai Imigresen Perlis dihukum gantung

KANGAR: Dua pegawai Jabatan Imigresen negeri ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, pagi tadi atas tuduhan membunuh seorang warga Bangladesh pada Oktober 2014.

Hukuman itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar, ke atas Mohd Aminnudin Mohd Yasin, 35 dan Zuhairul Effendy Zualkafli, 35, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kedua-dua tertuduh didapati bersalah menyebabkan kematian pendatang asing tanpa izin (PATI), Abu Bakar Siddiqe, di bilik pantri Jabatan Imigresen, di sini, antara jam 10 hingga 11 malam pada 29 Oktober 2014.


DUA pegawai Jabatan Imigresen Perlis dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kangar atas tuduhan membunuh seorang pendatang tanpa izin (PATI) dari Warga Bangladesh pada Oktober 2014. - Foto Azhar Ramli

Penghakiman dibuat berdasarkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rahamatullah Baharudeen.

Pada 1 Oktober 2015 Mahkamah Tinggi Kangar memutuskan kedua-dua tertuduh tidak bersalah, bagaimanapun pihak pendakwa raya membuat rayuan untuk membicarakan kes berkenaan semula.

29 dibaca
Berita Harian X