Sabtu, 4 March 2017 | 12:08am

NS terus gah di puncak Liga Perdana


PEMAIN Negeri Sembilan meraikan gol pertama yang dijaringkan Khairul Anwar Shahruddin (tiga, kanan). - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Negeri Sembilan (NS) terus melebarkan penguasaannya dalam saingan Liga Perdana apabila menundukkan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dekat sini, sebentar tadi.

Dengan sokongan padu kira-kira 8,500 penyokong, tuan rumah memperagakan aksi mantap dengan menguasai sebahagian besar permainan, selain mencipta banyak peluang jaringan terutama menerusi Bruno Suzuki dan Marko Simic.

Ia adalah kemenangan kelapan berturut-turut dicatatkan skuad Hobin Jang Hobin yang dibimbing Mohd Asri Ninggal, sekali gus kekal menerajui carta liga dengan kutipan 21 mata.

NS mula menunjukkan taring sebaik perlawanan dimulakan dengan melakukan gerakan pantas ke kubu pelawat dan usaha mereka mendapatkan gol awal berhasil menerusi jaringan Mohd Khairul Anwar Shahruddin pada minit ketujuh.

Pemain tengah itu melepasi pertahanan lawan sebelum melakukan sepakan leret dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd Remezey Che Ros.

Jaringan itu menyentap semangat pemain pelawat dan mereka mula mengatur gerak dengan melakukan serangan balas ke kubu tuan rumah dan hampir menyamakan kedudukan, namun sepakan Naim Nazmi Zainudin dari luar kotak pada minit ke-19, tepat ke dakapan penjaga gol tuan rumah, Kaharuddin Abd Rahman.

NS yang turun dengan misi mempertahankan rekod tanpa kalah bertindak agresif memburu gol tambahan bagi melebarkan jurang dan beberapa gerakan satu dua antara Suzuki, Simic dan Lee Andrew Tuck mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.

Mohd Khairul Anwar hampir menambah koleksi jaringan peribadinya tetapi tandukannya daripada hantaran lintang Lee Tuck pada minit ke-43, sedikit tersasar ke sebelah kiri pintu gol Kuala Lumpur.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan terus meningkatkan asakan dan usaha mereka berhasil apabila Simic menyudahkan dengan baik bola hantaran Mohd Khairul Anwar untuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-56.

Begitupun skuad warga kota yang dibimbing Rusdi Suparman tidak berputus asa untuk mendapatkan gol penyamaan. Dua peluang terbaik pada minit ke-79 dan ke-82 menerusi Abdul Manap Mamat bagaimanapun dihalang Kaharuddin.

Usaha berterusan pelawat berhasil apabila Guilherme Akbarov menjaringkan gol tuan rumah pada minit ke-89 yang berpunca daripada sepakan sudut untuk keputusan muktamad 2-1.

Berita Harian X