Sabtu, 4 March 2017 | 7:15am

Schwarzenegger keluar program Apprentice kerana Trump


ARNOLD Schwarzenegger. - Foto AFP

LOS ANGELES: Arnold Schwarzenegger, hari ini, mengesahkan bahawa beliau menarik diri daripada rancangan 'The New Celebrity Apprentice'.

Antara lain keputusan itu dibuat kerana beliau berang dengan pembabitan berterusan Presiden Donald Trump dalam rancangan itu, sehingga menjejaskan jumlah tontonan.

Pelakon berusia 69 tahun yang terkenal dengan kata-kata 'saya akan kembali', sebelum ini memberitahu majalah hiburan Empire bahawa beliau tidak bercadang untuk kembali ke rancangan itu selepas menyertai musim pertama, walaupun dipujuk oleh penerbit, Mark Burnett.

"Saya menikmati setiap saat ketika bekerja dengan NBC dan Mike Burnett. Semua orang mulai daripada selebriti dan kru hingga ke jabatan pemasaran memperoleh 10 markah, dan saya memang mahu bekerja semula dengan mereka dalam rancangan ini, jika tidak mempunyai masalah seperti ini," katanya yang mengesahkan keputusan itu dalam satu kenyataan kepada media.

Bagaimanapun, wakil Schwarzenegger di sini, tidak memberi maklum balas segera ketika diminta memberikan komen.

"Pembabitan Trump dalam rancangan ini menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai, menyebabkan mereka tidak mahu menyertainya sama ada sebagai peserta atau penaja atau menerusi lain-lain sokongan terhadap rancangan ini," kata Schwarzenegger kepada Empire, hari ini.

Katanya, secara keseluruhannya beliau menerima maklum balas yang baik mengenai persembahannya dalam rancangan itu tetapi dimaklumkan bahawa orang ramai enggan menontonnya selepas melihat nama Trump masih tertera sebagai penerbit eksekutif.

"Tiada orang yang menyangka perkara ini akan berlaku dan saya rasa semua orang rasa 'tertangkap', apabila mengetahui bahawa Trump masih terbabit sebagai penerbit eksekutif dan masih menerima bayaran daripada rancangan ini, menyebabkan mereka (mula) memulaunya," katanya. - AFP

Berita Harian X