Ahad, 5 March 2017 | 12:13am

Jong-un bunuh abang untuk kukuh kuasa: bekas diplomat


KIM Jong-un kemungkinan membunuh abangnya dalam cubaan mengukuhkan status keturunan pemimpin sebenar, kerana kelahirannya dilihat titik kelemahan ketara dalam proses pelantikannya. - Foto AFP

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un kemungkinan membunuh abangnya dalam cubaan mengukuhkan status keturunan pemimpin sebenar, kerana kelahirannya dilihat titik kelemahan ketara dalam proses pelantikannya.

Bekas diplomat Korea Utara yang berpaling tadah, Thae Yong-ho berkata, Jong-un jelas tiada 'pertalian' dengan saudara lelakinya disebabkan latar belakang kelahiran, membolehkan beliau nekad membunuh abangnya itu.

Pembunuhan Jong-nam, anak lelaki mendiang pemimpin Kim Jong-il menggunakan agen saraf VX mengejutkan dunia, meningkatkan spekulasi kononnya pemimpin Pyongyang itu mengarahkan abangnya dibunuh bagi mengukuhkan kekuasaannya.

Pemimpin Korea Utara itu menghabiskan zaman remajanya di Switzerland bersama abang dan adik perempuan seibu, kerana bapanya dipercayai mahu menyembunyikan kewujudan mereka. Ibu mereka, Ko Yong-hui adalah warga Korea yang menetap di Jepun.

"Jong-un seperti seseorang yang secara tiba-tiba jatuh dari langit. Beliau tiada ikatan atau menjalin hubungan dengan anggota keluarga atau saudara lain," kata Yong-ho yang membelot ke Korea Selatan tahun lalu kepada agensi berita Yonhap.

Dalam masyarakat di mana bapa mempunyai kuasa seperti Korea Utara, anak lelaki sulung diterima secara meluas sebagai pengganti, namun ia diberi kepada Jong-un, anak lelaki ketiga. Beliau mengambil alih kuasa pada akhir 2011 susulan kematian mengejut bapanya.

Bagi Jong-un, ia dilihat sebagai satu kelemahan dari segi kesahihan kepimpinannya, bersama ketidaktentuan berhubung latar belakang mendiang ibunya. Penduduk Korea di Jepun dianggap sebagai 'kelas bawahan' di Pyongyang.

"Bagi Jong-un, adalah penting menyingkirkan Jong-nam, kerana Korea Utara mahu menyerlahkan personaliti kultus (tiga generasi pengasas keluarga Il-sung), dinamakan keturunan Gunung Paektu," kata Yong-ho.

Pemimpin Pyongyang itu dilihat mengukuhkan pemerintahan diktatornya dengan menghukum mati lebih 100 pegawai. Agensi perisikan Seoul mendakwa, pemimpin itu mengeluarkan 'arahan tetap' membunuh abangnya sejak mula mengambil alih pemerintahan. - YONHAP

Berita Harian X