Ahad, 5 March 2017 | 12:25am

Trump kutuk Schwarzenegger gagal tarik penonton dalam Apprentice

NEW YORK: Presiden Donald Trump mempertikaikan pengumuman Arnold Schwarzenegger yang menarik diri sebagai hos rancangan realiti 'The Celebrity Apprentice', dengan mengatakan bekas Gabenor California itu berhenti kerana gagal menarik penonton.

Schwarzenegger mengumumkan semalam, beliau tidak akan kembali menjadi hos musim kedua rancangan NBC itu dan menyalahkan Trump yang juga produser eksekutif serta bekas hos rancangan kerana rating rendah, dan menganggap pembabitan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu sebagai 'beban.'

Trump bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza.

"Arnold Schwarzenegger bukan secara sukarela meninggalkan Apprentice, beliau dipecat akibat rating buruknya, bukan disebabkan saya. Penamatan menyedihkan kepada rancangan hebat," kata Trump hari ini dalam akaun peribadi Twitter miliknya.

Tidak lama kemudian mesej itu dibalas.

"Anda perlu memikirkan untuk mengambil penulis jenaka baharu dan pemeriksa fakta," balas mesej dalam akaun Twitter Schwarzenegger, membalas tulisan Trump.

NBC, unit di bawah Comcast Corp semalam, tidak mengulas keputusan Schwarzenegger yang enggan kembali untuk musim berikutnya atau masa depan rancangan itu.

Schwarzenegger, seorang bintang filem, mengambil alih tugas sebagai hos 'Celebrity Apprentice' tahun lalu. Musim pertamanya ditayangkan Januari lalu dan disaksikan hampir kira-kira hingga lima juta penonton. - REUTERS

Berita Harian X