Ahad, 5 March 2017 | 3:22pm

MCPF cadang kaji semula undang-undang berkaitan dadah


TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto Amran Hamid

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan kerajaan mengkaji semula undang-undang berkaitan dadah supaya usaha memerangi gejala penagihan dan penyalahgunaan bahan terlarang itu dapat dilakukan secara lebih berkesan.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merekodkan peningkatan jumlah penagih dadah iaitu sebanyak 22,058 orang bagi tempoh sembilan bulan sehingga September tahun lalu, berbanding 20,091 penagih bagi tempoh sama tahun 2015.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 547 penagih adalah remaja dan ia satu angka yang amat membimbangkan.

"Peningkatan jumlah penagih terutama golongan remaja amat membimbangkan kerana boleh menyumbang kepada peningkatan kes jenayah di masa hadapan termasuk bunuh dan jenayah kekerasan.

"Kajian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menunjukkan bahawa kira-kira 60 peratus jenayah indeks dilakukan penagih dadah atau mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

"Justeru, kita mahu undang-undang berkaitan dadah ini dikaji semula, selain keperluan mewujudkan mahkamah khas untuk perbicaraan kes ini yang mengambil masa bertahun untuk diselesaikan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut meluahkan kebimbangan berhubung pendedahan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini bahawa terdapat usaha pengedar barangan mengandungi dadah sintetik mewujudkan permintaan dalam bentuk makanan, menyebabkan kanak-kanak seawal tujuh tahun menagih bahan terlarang itu.

Katanya, AADK mengesan bahan narkotik itu diadun dalam makanan seperti gula-gula dan roti.

Justeru, Lam Thye berkata, sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan dan NGO lain dalam menganjurkan program kesedaran dan kempen anti dadah di kalangan pelajar, belia dan ibu bapa supaya masalah itu dapat dikekang daripada berleluasa.

Berita Harian X