Selasa, 7 March 2017 | 3:52pm
PEREKA fesyen, Ezuwan Ismail bersama supermodel terkenal, Tinie.

Ezuwan hidupkan legasi Grace Kelly


EZUWAN Ismail memilih tema stail klasik kerabat diraja paling ikonik abad ini, Grace Kelly, untuk koleksi perkahwinan terbarunya. - Foto shafiq Shahar

KUALA LUMPUR: Tahun ketujuh berada dalam arena fesyen, pereka terkenal, Ezuwan Ismail, mempunyai alasan tersendiri memilih tema stail klasik kerabat diraja paling ikonik abad ini, Grace Kelly, untuk koleksi perkahwinan terbarunya.

Koleksi Ezuwan Ismail, 35, iaitu Memories Of Grace Kelly dipersembahkan baru-baru ini ketika berlangsungnya pertunjukan fesyen The Wedding KL 2017 di sebuah hotel terkemuka di sini.

Grace Kelly menarik perhatiannya sebagai tema tahun ini dan koleksi yang terhasil adalah mengenai kecantikan, kewanitaan dan ciri lain daripada kehidupan ikon fesyen yang masih dikenang sehingga ke hari ini.

Menampilkan 20 koleksi wanita dan empat lelaki, rekaan berkenaan memberi simbolik tersendiri buat jejaka berusia 35 tahun yang memiliki dua anak bernama Eisa Zhafran dan Eisa Zaquan itu.

"Personaliti klasik Hollywood yang akhirnya menjadi Puteri diraja ini relevan sebagai antara ikon fesyen. Dari eranya hingga sekarang, gayanya masih diikut. Pendek kata, fesyennya tak pernah lapuk dek zaman.


GRACE Kelly menarik perhatiannya sebagai tema tahun ini dan koleksi yang terhasil adalah mengenai kecantikan, kewanitaan dan ciri lain daripada kehidupan ikon fesyen yang masih dikenang sehingga ke hari ini.

"Koleksi perkahwinan saya kali ini juga adunan unsur moden, sofistikated dan tradisional. Kali ini saya memberi tumpuan kepada empat warna pastel iaitu biru muda, 'light champagne', kelabu muda dan putih krim.

"Setiap rekaan direka menggunakan fabrik terbaik dari kain sifon, `lace', 'soft net', songket dan taffeta.

"Koleksi saya boleh dilihat menerusi akaun Instagram @ezuwanismail," katanya.

Pada 25 Mac ini, Ezuwan akan terbang ke Singapura untuk pertunjukan fesyen di sana.

"Saya akan berkolaborasi dengan pereka fesyen dari Singapura. Seterusnya pada 21 April, saya akan pulang ke negeri kelahiran iaitu Kelantan untuk mempersembahkan koleksi raya dipanggil Hello Raya 2.0.

"Pertunjukan fesyen ini akan diadakan di sebuah hotel di sana dan ia kali pertama saya melancarkan koleksi hari raya di sana.

"Wajah untuk koleksi raya saya ialah Rozita Che Wan," katanya.

Butik Ezuwan Ismail terletak di No 1-6, Blok B, Jalan Dagang, Dagang Avenue, Taman Dagang, Ampang, Selangor.

Berita Harian X