Rabu, 8 March 2017 | 8:44am
Model yang terbabit di pertunjukan fesyen The Wedding KL 2017 baru-baru ini. - Foto ihsan Rizman Ruzaini

Busana pengantin tetap ada permintaan

Nur Fazura Muse koleksi pengantin Rizman Ruzaini. - Foto ihsan Rizman Ruzaini

KUALA LUMPUR: Sekalipun berdepan keadaan ekonomi dan pasaran jual beli tidak menentu, dua pereka fesyen ternama, Rizman Ruzaini, yakin permintaan terhadap busana pengantin masih ada.

Justeru, kehadiran koleksi pengantin dengan tema The Ultimate Single Girl mereka dilihat bertepatan dengan apa yang dikatakan.

Koleksi itu turut dipersembahkan pada malam akhir pertunjukan fesyen The Wedding KL 2017 di sebuah hotel terkemuka di sini, 5 Mac lalu.

"Koleksi perkahwinan adalah koleksi wajib bagi setiap pereka fesyen dan kami tidak terkecuali.

"Kali ini koleksi kami bersifat moden tetapi masih ada sentuhan yang mengimbangi gaya Inggeris dan tradisional. Ia juga dilihat menepati kehendak masyarakat Malaysia. Tak hanya terbatas kepada sekelompok masyarakat sahaja.

Rizman Ruzaini sudah 12 tahun dia arena fesyen. - Foto ihsan Rizman Ruzaini

"Yang mahu gaya kahwin ala Barat pun ada manakala yang mendambakan gaya klasik tradisional tetap diberi pilihan.

"Masih ada wanita sanggup berbelanja untuk hal membabitkan perkahwinan sekalipun keadaan ekonomi tak menentu. Kuasa beli itu masih ada terutama busana pengantin. Akan ada orang kahwin itu yang pastinya," kata Rizman kepada BH Online.

Selepas 12 tahun di arena fesyen, Rizman Ruzaini menyedari hakikat persaingan.

"Cuma kami percaya strategi yang baik antara yang perlu dalam merencana haluan saat berdepan persaingan lain. Kami harus bijak memasarkan jenama diri. Kualiti menjadi nadi utama. Saya dan Ruzaini percaya promosi mulut ke mulut itu penting.

"Jika kita beri kualiti terbaik untuk pelanggan, insya-Allah mereka akan mempromosikan hal itu kepada rakan terdekat.

"Memang ada yang sanggup berhabis-habisan untuk memiliki busana kahwin. Itu yang menjadi kekuatan kami jika terus menghasilkan rekaan yang berkualiti. Jenama kami juga terus berdiri kukuh atas sokongan pelanggan selain golongan selebriti sendiri bagi tujuan promosi," katanya.

Pemilihan Nur Fazura sebagai wajah wakilan atau 'muse' dilihat bertepatan dengan tema koleksi perkahwinan mereka kali ini.

"Beliau dianggap sebagai The Ultimate Single Girl. Jalinan kerjasama kami juga lebih kepada paksi persahabatan. Kami sama-sama naik. Cuma bezanya dirinya di arena hiburan. Malah sepanjang kami wujud, beliau yang selalu diketengahkan sebagai muse. Selain koleksi kahwin, beliau juga kami pernah tampilkan bagi edisi raya.

"Cuma pernah setahun kami tampilkan koleksi muslimah yang mengetengahkan Erra Fazira," katanya.

Pada pertunjukan fesyen malam penutup itu, Nur Fazura bagaimanapun tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen kerja lain.

Bagaimanapun Rizman Ruzaini masih berjaya menghimpunkan selebriti baharu dalam lama seperti Ziana Zain, Ning Baizura, Elfira Loy, Adeline Tsen, Ainul Aishah, Nadia Brian, kumpulan De Fam, Nazim Othman, Bella Daly dan ramai lagi.

Butik mereka beroperasi di Rizman Ruzaini Creations, B1-5, Dataran Niaga Sungai Besi, Midfiled Square West, Jalan 11/108c, off Lebuhraya Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Berita Harian X