Rabu, 8 March 2017 | 1:59pm

KBS jadi penaja utama SIC Racing Team


KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: SIC Racing Team menerima suntikan moral apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil menaja pasukan yang beraksi dalam kelas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu.

Menerusi tajaan itu, nama pasukan itu kini dikenali sebagai KBS SIC Racing Team dan pelancaran rasminya akan dibuat menerusi media sosial sebelum perlumbaan pembukaan musim di Grand Prix (GP) Qatar, 26 Mac ini.

Meskipun nilai tajaannya tidak didedahkan namun kesediaan KBS menjadi penaja utama selepas kontrak Drive M7 tamat musim lalu menunjukkan betapa kementerian itu sentiasa menyokong dunia permotoran tanah air baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

"Kami bercadang untuk membuat pelancaran rasmi pasukan tetapi masa terlalu suntuk," kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali kepada BH Sukan.

"Jadual KBS agak padat dan ketika ini juga pasukan sudah pun berada di Sepanyol untuk sesi ujian rasmi sebelum perlumbaan pertama musim penghujung bulan ini.

"Jadi kami akan membuat pelancaran menerusi media sosial sebelum perlumbaan di Qatar."

KBS sudah menjadi rakan penaja pasukan Moto3 itu sejak tahun lalu dan kontrak tajaannya adalah sehingga penghujung musim 2017.

Berita Harian X